[VIDEO] Sahabat menangis, sebak pemergian Hafiz Fauzan

Iklan

BATU PAHAT -"Tiada lagi gelak tawa Hafiz, kami cukup merinduinya. Kami tidak pernah berhenti mencarinya selepas dia dilaporkan hilang pada akhir Mei lalu," kata Mohd Iman Danial Mohd Fauzan, 17.

Mohd Iman merupakan sahabat baik Hafiz Fauzan Abdul Halid, pelajar yang dilaporkan hilang sebelum rangkanya ditemui dalam kebun durian berdekatan Kompleks Penghulu Mukim Linau di Jalan Muar-Yong Peng, pada bulan lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, pemergian sahabat baiknya itu amat dirasai kerana Allahyarham sangat aktif dan menjadi antara tonggak utama pasukan bola sepak dan kumpulan nasyid Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja.

Mohd Iman (kanan) dan Mohd Hafiy tidak dapat menahan sebak di Tanah Perkuburan Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, pada Jumaat. Gambar kecil: Hafiz Fauzan.

"Hafiz seorang yang sangat kuat bersukan dan aktif sertai pertandingan bola sepak untuk wakil sekolah dan negeri.

Iklan

"Selepas Hafiz dilaporkan hilang, saya dan rakan-rakan yang lain mencari Hafiz hampir setiap hari. Kami keluar pagi, petang balik adakalanya sampai malam baru balik, namun tidak menemuinya," katanya.

Jenazah Allahyarham Hafiz Fauzan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada Jumaat.

Mohd Iman bersama beberapa rakan-rakan Allahyarham turut membantu urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Batu 7, Tongkang Pechah, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Seorang lagi sahabat, Mohd Hafiy Ahmad Kamal, 17 memberitahu dia dan Allahyarham berkawan baik sejak di sekolah rendah dan bersama-sama memasuki asrama SMA Parit Raja.

"Saya cukup rapat dengan Hafiz Fauzan, malah kami mempunyai minat yang sama dalam sukan bola sepak.

"Pemergiannya membuatkan saya cukup sebak. Namun saya dan rakan-rakan yang lain akan meneruskan perjuangan Allahyarham dalam sukan bola sepak dan nasyid," katanya dengan penuh sebak.

Pada Khamis, identiti rangka manusia ditemui berdekatan Kompleks Penghulu Mukim Linau, pada 25 Jun lalu dikenal pasti milik Hafiz Fauzan, 17 berdasarkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Penemuan rangka itu merungkai kehilangan Hafiz Fauzan yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas nombor pendaftaran sama dengan motosikal digunakan Hafiz Fauzan seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!