GEORGETOWN - Pendaftaran Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) dilaporkan telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Pengerusi Interim, P Ramasamy berkata, pendaftaran secara rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan 3 November tahun lalu namun keputusan permohonan hanya diketahui pada Khamis (semalam).
"Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kami, kerana keputusan ini adalah sesuatu yang boleh dijangka dengan perkembangan politik tanah air semasa.
"Apa yang mengecewakan adalah, Kerajaan Madani pimpinan Pakatan Harapan (PH) ini, menafikan pendaftaran parti politik baru, yang merupakan perkara asas dalam demokrasi," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.
Ramasamy berkata, dalam sejarah Malaysia, pendaftaran parti politik terpaksa melalui satu jangka masa yang panjang.
Katanya, parti-parti seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mendapatkan pendaftaran mereka setelah bawa isu pendaftaran ke Mahkamah.
"PSM terpaksa menunggu lebih 10 tahun untuk didaftarkan.
"Ironinya adalah, pendaftaran URIMAI telah dinafikan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang selalu canangkan reformasi," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, seminggu sebelum ini, peguam URIMAI telah menerima sepucuk surat dari pihak JPPM bahawa permohonan masih dalam proses semakan dan penelitian.
"Selang beberapa hari sahaja, kami menerima pemakluman penolakan permohonan ini. Keputusan ini dikeluarkan semasa berjalannya kempen PRK di Sungai Bakap.
"Kami boleh faham ada pemimpin Kerajaan Madani ini yang marah kepada kami kerana, kami membuat keputusan untuk berkempen menentang mereka di Kuala Kubu Baru dan kini di Sungai Bakap.
"Penolakan permohonan pendaftaran ini adalah indikasi ‘kemarahan’ kerajaan terhadap URIMAI. Kami tidak akan gentar dengan tindakan ini," tambahnya lagi.
Beliau berkata, pihaknya ada masa 30 hari untuk kemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.
Tambahnya, pasukan Undang-Undang kini sedang mengambil langkah-langkah untuk mengemukakan rayuan tersebut dan juga mengambil tindakan lanjut menurut lunas undang-undang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!