KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengekalkan kadar kenaikan sewa bagi kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 sebagaimana diputuskan sebelum ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, bayaran sewa di pusat perniagaan baharu itu akan mula dikenakan pada 1 Ogos depan.
"Keputusan itu diambil hasil mesyuarat yang dijalankan oleh pihak MBKT sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Eksplorasi Gelombang Kasih Sejagat di Pantai Pandak Chendering dekat sini pada Jumaat.
Jelas Rosli, sehingga minggu lepas 90 peratus daripada 110 peniaga yang menerima surat tawaran untuk berniaga di Pasar Payang 1 telah membayar deposit bagi membolehkan mereka mengambil kunci di lot perniagaan baharu.
"Kira beri tawaran untuk berpindah sebab mereka peniaga sedia ada di Pasar Payang lama. Mereka berhak untuk menolak tawaran itu dan ia akan diberikan kepada mereka yang nak berniaga.
"Setakat ini hanya 10 peratus peniaga sahaja yang masih belum membayar deposit," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, tempoh pembukaan Pasar Kedai Payang 1 akan dilanjutkan atas beberapa faktor.
"Kita faham kekangan yang dialami peniaga di mana sepatutnya Pasar Payang 1 ini mula beroperasi pada 1 Julai lalu, namun dalam tempoh itu ada peniaga yang masih melakukan ubahsuai lot perniagaan mereka.
"Jadi, kita jangka Pasar Payang baharu ini nanti akan mula beroperasi pada 1 Ogos depan," katanya
Dalam perkembangan sama, Rosli berkata, terdapat pengubahsuaian yang terpaksa di lakukan pada ruangan sutera dan batik di tingkat satu kompleks perniagaan baharu itu kerana jumlahnya tidak mencukupi.
"Kita baharu dapat kelulusan untuk ubah suai tingkat atas bangunan itu. Setakat ini kita ada 244 peniaga batik sutera di ruangan tersebut dan kita hanya ada 218 lot sahaja.
"Disebabkan itu kita akan buat ubahsuai dengan membuat penambahan lot kedai yang dijangka siap akhir tahun ini. Jadi ruangan itu dijangka boleh beroperasi pada awal tahun depan," ujarnya.
Sebelum ini, seramai 400 peniaga Pasar Kedai Payang merayu supaya MBKT mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa ruang niaga di bangunan baharu Pasar Payang 1.
Jelas mereka, harga sewa baharu yang dikenakan meningkat mendadak antara 300 peratus hingga 485 peratus.
Selain kadar sewa, bayaran deposit yang dikenakan juga disifatkan sebagai terlalu tinggi dan tidak mampu dilunaskan secara sekali gus bagi membolehkan mereka mendapatkan kunci untuk berpindah ke premis baharu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!