"Pingat emas ini saya dedikasikan buat arwah bapa saya, Allahyarham Mohd Israj Ismail." - Demikian respons atlet silat negara, Mohammad Firdaus Mohd Israj sebaik menghadiahkan pingat emas kedua kem silat negara pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 pada Jumaat.
"Hari pertama saya tiba di AUG Ubon Ratchathani, Thailand dulu, itu kali pertama ayah dimasukkan ke hospital.
"Ketika itu saya sudah tidak fokus kepada kejuaraan kerana memikirkan keadaan ayah yang sakit.
"Ayah meninggal dunia pada Ogos 2022, akibat sakit buah pinggang semasa saya beraksi di Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT)," katanya kepada pemberita selepas mengutip pingat emas pertama hari kesepuluh temasya di UMM Dome, Universitas Muhammadiyah Malang.
Untuk rekod, kemenangan itu menyaksikan Mohammad Firdaus berjaya menebus kekecewaan ketika temasya edisi Ubon Ratchathani 2022, yang menyaksikan dia sekadar meraih gangsa susulan hilang fokus selepas perkhabaran mengenai keadaan kesihatan bapanya ketika itu.
Pada perlawanan akhir di Universitas Muhammadiyah Malang itu, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menewaskan petarung Thailand, Soradet 56-28 dalam acara silat olahraga Putra B.
Mengulas mengenai pertarungan final terbabit, atlet berusia 24 tahun kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengakui ia bukan satu perlawanan yang mudah apabila pesaing sentiasa memberi cabaran sengit sepanjang perlawanan.
"Kekuatan Thailand datangnya daripada sepakan kuat selain tampil dengan gaya permainan 'endurance'.
"Sebaliknya, saya tampil lebih taktikal dan Alhamdulillah, taktikal saya berkesan menewaskan Thailand," ujarnya.