NIBONG TEBAL - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpuas hati dengan gerak kerja dilakukan jentera dan calon mewakili Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari terakhir pada Jumaat.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room PRK DUN Sungai Bakap melahirkan keyakinan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin mampu meraih kejayaan berdasarkan penerimaan masyarakat.
Iklan
Iklan
"Kita telah melakukan sehabis baik dalam tempoh kempen untuk memenangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau menyeru pengundi untuk keluar awal pada hari pengundian esok.
"Kepada pengundi luar pula saya ingin menyeru baliklah ke kampung... manfaatkan sebaiknya cuti panjang hujung minggu ini kerana selain dapat mengundi, inilah peluang untuk berkumpul dan bertemu keluarga," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.