SHAH ALAM - Sebanyak 1,500 naskhah al-Quran bakal diedarkan kepada orang ramai yang menghadiri sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu malam.
Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Hashim Muhamad berkata, pembelian naskah tersebut berserta cenderamata lain adalah hasil sumbangan awam melalui platform Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI).
Menurutnya, TIJARI ditubuhkan melalui titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 2020.
"Umat Islam boleh menunaikan sedekah infak melalui TIJARI dan boleh mengikut perkembangan kegunaan sumbangan itu melalui platform media sosial.
"Sumbangan itu akan digunakan untuk program pengimarahan masjid dan surau, institusi Islam serta dakwah selain pembangunan sosial juga bantuan pendidikan, utiliti dan lain-lain," katanya ditemui pada penyerahan naskah al-Quran di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Hashim yang juga Setiausaha TIJARI berkata, penubuhan tabung tersebut bukan bertujuan bersaing dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebaliknya berperanan untuk saling memenuhi keperluan umat Islam di Selangor.
"LZS dengan fungsi bantuan kepada lapan kategori asnaf manakala TIJARI di bawah JAIS menumpukan aspek sosial lain.
"Orang awam yang ingin menyumbang ke TIJARI boleh mengimbas kod QR yang disediakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sambutan Maal Hijrah itu dijangka akan dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Program akan bermula jam sekitar 6.50 petang itu dengan zikir munajat, bacaan doa akhir dan awal tahun, solat berjemaah disusuli kuliah agama serta pengumuman anugerah tokoh Maal Hijrah.
Lebih 2,000 jemaah dijangka hadir pada program tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!