Lelaki curi kabel sembunyi atas pokok kena cekup

Iklan
Polis menahan seorang lelaki yg cuba bersembunyi di atas pokok selepas dikesan menjalankan aktiviti mencuri kabel bersama tiga lagi rakan. Keadaan kenderaan pacuan empat roda (kanan) ketika dikesan anggota polis menjalankan aktiviti mencuri kabel.

KEMAMAN - Tindakan seorang lelaki yang cuba bersembunyi di atas pokok selepas dikesan menjalankan aktiviti mencuri kabel tidak berhasil apabila suspek dicekup anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 7 pagi di Felda Panching, Kuantan selepas melarikan diri sejauh 120 kilometer (km).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegiatan suspek bersama tiga lagi rakan yang lain berjaya dihidu anggota peronda yang menjalankan pemantauan di sekitar kawasan Rantau Petronas, Kemasik dekat sini kira-kira jam 5 pagi.

"Polis terpaksa mengejar suspek dari Kemasik melalui Bandar Chukai, Cheneh, Jabor dan berakhir di Felda Pancing, Kuantan.

Iklan

"Seorang suspek yang berasal dari Felda Panching berjaya ditahan, namun tiga lagi rakannya berjaya melarikan diri. Polis kini giat memburu suspek," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, pihaknya turut mendapat bantuan daripada Unit Kereta Peronda (MPV) Kuantan ketika mengesan suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel syarikat telekomunikasi di sekitar daerah ini.

Iklan

Menurutnya, polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda dan beberapa peralatan yang digunakan dipercayai untuk aktiviti mencuri kabel.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis turut menyiasat sama ada penahanan itu mempunyai kaitan dengan kes yang sama, Rabu lalu.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut daripada semua aspek termasuk sama ada terdapat penglibatan sindiket dalam kegiatan ini.

"Sebelum ini, siasatan awal terhadap kes pada Rabu lalu mendapati tiga suspek ditahan aktif menjalankan aktiviti curi kabel di sekitar Kuantan, Terengganu dan Kota Bharu," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!