PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merangka tiga teras strategik utama untuk 2020 bagi menyokong visi dan misi kementerian, kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, tiga teras strategik itu ialah pemerkasaan keselamatan dan ketenteraman awam, pemantapan institusi dan sistem perkhidmatan serta pengukuhan keselamatan rentas sempadan.
"Teras-teras ini adalah dinamik yang boleh ditambah baik mengikut keperluan semasa. Bagi menyokong teras strategik ini, beberapa strategi yang holistik dan fokus perlu dikenal pasti bagi memastikan hala tuju kementerian dapat dicapai," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu KDN baru-baru ini.
Antara strategi yang perlu diberi perhatian, katanya, ialah menambah baik dasar, perundangan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam, membanteras jenayah bagi meningkatkan persepsi rasa selamat rakyat serta mengukuhkan program rawatan pembetulan dan pasca pemulihan.
"Turut perlu diberi perhatian ialah mengukuhkan keselamatan sempadan darat, Maritim dan pintu masuk negara, memerangi pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dan memerangi pendatang tanpa izin dan memperkukuhkan undang-undang Imigresen.
"Meningkatkan usaha menggalakkan penglibatan komuniti, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dalam inisiatif berkaitan keselamatan serta memperkemas pengurusan kewarganegaraan," katanya.
Muhyiddin berkata, KDN akan melaksanakan kajian dan pindaan ke atas akta-akta yang berada di bawah bidang kuasa KDN antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Penagihan (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Ini bagi memastikan akta-akta yang dikuatkuasakan KDN relevan dengan keadaan semasa dan mendokong prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.
Beliau berkata, KDN pada tahun ini (2020) akan terus memberi fokus kepada usaha menambah baik dasar dan perundangan sedia ada, mempergiatkan penguatkuasaan dan operasi serta melaksanakan beberapa kajian penilaian bagi tujuan penambahbaikan sistem penyampaian kementerian.
"Tumpuan mesti diberikan kepada usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan mekanisme pelaksanaan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian serta sistem pengukuran prestasi yang lebih kemas dan sistematik,” katanya sambil menambah fokus 2020 mengambil kira isu semasa dan cabaran keselamatan berdasarkan kepada analisis persekitaran.
Muhyiddin berkata, KDN pada tahun ini komited melaksanakan program pemulihan dan pembetulan bagi mengurangkan kadar penagihan berulang dan kadar residivis.
"Usaha turut dibuat bagi menggalakkan sektor swasta mengambil orang diparol (ODP) bekerja melalui program yang dikenali sebagai Corporate Smart Internship bagi membantu ODP kembali berfungsi dalam masyarakat di samping mengubah tanggapan tidak baik masyarakat terhadap golongan itu.
"KDN melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan memperkasakan program rawatan dan pemulihan bagi memastikan peratus orang kena pengawasan iaitu bekas penagih kekal pulih dalam tempoh dua tahun meningkat dengan sasaran sebanyak 65 peratus," katanya.
Katanya, bagi memastikan keberkesanan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, satu kajian ke atas Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2016-2020 akan dilaksanakan sebagai persediaan untuk pembangunan pelan tindakan baharu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dalam konteks pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI), menurutnya, KDN akan melaksanakan Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI melalui lima strategi yang merangkumi pelaksanaan di peringkat nasional sehingga ke peringkat daerah.
"Ia melibatkan operasi penguatkuasaan PATI, perundangan dan dasar penguatkuasaan PATI, kawalan sempadan dan pintu masuk, pengurusan warga asing dan pelaporan media dan publisiti," katanya.
Muhyiddin berkata, bagi menyokong pengurusan sempadan secara bersepadu, sistem MyIMMs yang sedang digunakan Jabatan Imigresen (JIM) kini akan digantikan dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi membolehkan JIM mengawal selia kemasukan warga asing dengan lebih teratur dan cekap melalui penggunaan Artificial Intelligence (AI).
"Pembangunan sistem itu yang telah memasuki fasa perolehan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2020," katanya.
Katanya, tahun 2020 adalah tahun yang penting bagi KDN kerana Pelan Strategik 2021-2025 akan dibangunkan untuk menetapkan hala tuju KDN bagi tempoh lima tahun yang akan datang.
"Pelan itu akan menjadi agenda perancangan KDN dalam mencapai misi dan visi yang ditetapkan serta mendokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Sustainable Development Goal 2030," katanya. - Bernama