Jemaah Menteri setuju pindaan akta akaun keldai dibentang di Parlimen

Iklan
Azalina. Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan dasar dan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] berhubung dengan kesalahan-kesalahan jenayah dalam talian berkaitan ‘akaun keldai’ dan prosedur berkaitan untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi mesyuarat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 itu melibatkan pengenalan peruntukan khusus berkaitan dengan penggunaan ‘mule account’.

Iklan
Iklan

"Cadangan pindaan ini antara lain akan memperuntukkan kesalahan sekiranya mana-mana orang tanpa kuasa ataupun tujuan yang sah didapati memiliki instrumen pembayaran orang lain, serta memperuntukkan juga kesalahan sekiranya mana-mana orang tanpa kuasa ataupun tujuan yang sah membenarkan instrumen pembayarannya digunakan oleh orang lain.

"Cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan [Akta 574] adalah diperlukan pada masa kini bagi memastikan ia selari dengan kepantasan perkembangan dan kecanggihan teknologi pada ketika ini, terutamanya yang sering digunakan dan disalah guna oleh para penjenayah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, cadangan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 akan memperkenalkan peruntukan baharu yang bersifat prosedur dengan memberikan kuasa sitaan kepada pihak polis untuk mengarahkan penyitaan wang di dalam akaun bank yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah dan perkara berkaitan.

Azalina berkata Kerajaan Madani berharap usaha itu mendapat sokongan semua ahli Parlimen kedua-dua pihak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat negara ini terjamin. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!