UMNO Kedah teruskan solidariti untuk Najib

Iklan
Shaiful Hazizy (Kanan: Laporan Sinar Harian pada Khamis.)

ALOR SETAR - UMNO Kedah berpegang teguh pada pendirian untuk meneruskan solidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, berikutan itu, UMNO Kedah memutuskan agar usul pembebasan dan keadilan terhadap Najib menjadi usul utama dalam setiap mesyuarat perwakilan UMNO bahagian dan persidangan sayap-sayap Bahagian seluruh negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu mendapat persetujuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar perkara berkenaan menjadi usul utama, bermula mesyuarat pertama sehingga berakhir mesyuarat perwakilan di Kedah.

"UMNO Kedah gesa Kerajaan Perpaduan untuk menyatakan pendirian berhubung kewujudan titah tersebut.

Iklan

"Pendirian ini penting bagi memastikan sistem kehakiman negara tidak terjejas dan hak Najib sebagai seorang warganegara Malaysia diberikan keadilan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Najib gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar beliau dapat menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Iklan

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan itu, termasuk afidavit yang difailkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sekadar khabar angin.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah menyokong tindakan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Wan Rosdy yang tampil memfailkan afidavit.

"Ini menunjukkan komitmen penuh seorang Presiden dan Naib Presiden dalam menegakkan kebenaran demi parti.

"Pada masa sama, kita turut lahirkan rasa dukacita kepada keluarga Najib dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitan titah tersebut agar tampil menegakkan keadilan dalam sistem perundangan negara,” ujarnya.

Menurutnya, UMNO Kedah juga berharap agar jangan ada pihak-pihak tertentu di luar parti menangguk di air yang keruh, seolah-olah mereka adalah jaguh menjadi pembela kepada Najib.

"Persoalannya, kenapa mahu jadi jaguh selepas disingkirkan dan berada di luar parti?

"Afidavit Presiden dan pemimpin UMNO serta ketetapan perwakilan jelas menunjukkan UMNO kekal komited dan istiqamah mencari keadilan terhadap bekas Presiden UMNO itu,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!