ATLET taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber tampil mengakhiri penantian 16 tahun kilauan pingat emas kategori kyorugi lelaki Bawah 87 kilogram (kg) di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 pada Jumaat.
Pada perlawanan akhir edisi ke-21 Surabaya-Malang yang berlangsung di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB) itu, Muhammad Syafiq menghadiahkan pingat emas selepas menewaskan atlet Indonesia, Tubagus Maulana, 2-0.
"Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH rezeki hari ini dapat pingat untuk pasukan negara.
"Ya, sememangnya ada tekanan namun alhamdulillah dengan pengalaman serta tunjuk ajar jurulatih saya buat terbaik.
"Saya gembira apabila dapat menamatkan penantian pingat emas acara kyorugi. Biarpun apa yang penting kita dapat merealisasikan sasaran ditetapkan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, ratu karate negara, Shahmalarani Chandran gagal dalam misi mempertahankan pingat emas kategori Bawah 50kg edisi Ubon Ratchathani 2022 di Thailand apabila sekadar meraih gangsa selepas menjinakkan rakan sepasukan, Yoshanaa Chelvam 8-0 di pentas penentuan tempat ketiga dan keempat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!