Semak semula Akta Pembangunan Sumber Manusia - FMM

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Thian Lai)

SHAH ALAM - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) untuk memperkukuh tadbir urus organisasi dengan segera agar keselamatan dana latihan industri terjamin.

Presidennya, Tan Sri Datuk Soh Thian Lai berkata, kekurangan yang ditonjolkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2004 menunjukkan perubahan struktur pentadbiran yang lebih mendalam perlu dilakukan.

Iklan
Iklan

"Penambahbaikan berkaitan ketelusan dan kecekapan organisasi merupakan satu keperluan untuk menangani kelemahan serta jurang dalam tadbir urus organisasi berkenaan.

"Pada masa yang sama, pengukuhan audit dan mekanisme pematuhan juga boleh diteliti semula bagi memastikan ketelusan dalam aliran kewangan dan penggunaan dana HRD Corp.

Iklan

"Kajian semula secara menyeluruh terhadap Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 juga perlu dilakukan termasuk kemungkinan mengeluarkan portfolio pelaburan dan memberi pendapat kepada lembaga pengarah mengenai pelantikan ketua eksekutif yang biasanya dilantik oleh kerajaan semasa atau Kementerian Sumber Manusia (Kesuma),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.

Iklan

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.

Menurutnya, pelaburan berkenaan berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar.

Susulan daripada itu, Mas Ermieyati mencadangkan supaya HRD Corp menumpukan dengan lebih proaktif kepada penyaluran dana latihan.

Selain itu katanya, aktiviti pelaburan juga perlu dipantau oleh panel pelaburan dan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp dengan lebih telus dan teratur.

Dalam pada itu Thian Lai turut memuji Menteri Kesuma, Steven Sim kerana pantas mengarahkan laporan difailkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan Ketua Audit Negara (AG) 2024 dan penemuan PAC.

Menurutnya, ia merupakan langkah untuk merombak pengurusan kewangan HRD Corp sejak Steven Sim menjadi menteri pada Disember tahun lalu.

"Tindakan tersebut membuktikan bahawa beliau melihat perkara itu dengan serius dalam usahah untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap HRD Corp.

"Sejak perlantikannya, HRD Corp sudah menuju ke arah baik pulih pengurusan kewangan termasuk pengasingan akaun bagi memastikan levi yang dikutip daripada majikan digunakan semata-mata untuk latihan dan bukan untuk tujuan lain," jelasnya.