KPKT kenal pasti 534 kawasan berpotensi pembangunan semula bandar

Iklan
Kor Ming. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti 534 kawasan berpotensi untuk pembangunan semula bandar di Semenanjung Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM355.3 bilion.

Menteri berkenaan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, 139 kawasan berada di Kuala Lumpur dengan keluasan keseluruhan ialah 3,206.5 ekar (1,297 hektar).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, cadangan pembangunan semula bandar itu merangkumi tujuh aspek iaitu peruntukan undang-undang, perkongsian awam-swasta, pembinaan keupayaan dan perkongsian pengetahuan, libat urus dan keterangkuman komuniti, reka bentuk yang mampan dan berdaya tahan, penggunaan teknologi dan inovasi serta ketelusan dan akauntabiliti.

"Dalam kes yang paling ekstrem, bahagian lama sesebuah bandar ditinggalkan, tidak sihat dan tidak lagi mampan namun terdapat seni bina yang signifikan dari segi budaya serta sejarah yang patut dipelihara... justeru itu, ini adalah langkah permulaan yang penting ke arah meremajakan semula bahagian yang telah ditinggalkan dalam fabrik perbandaran kita," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, akta itu bertujuan memulihkan kemeriahan dan daya tarikan kawasan lama, menyediakan ruang kediaman mampu milik, meningkatkan kemudahan awam dan menghidupkan semula seni bina dengan kepentingan nasional.

"Prinsip panduan tertinggi untuk menggubal undang-undang itu seperti biasa semestinya demi kesejahteraan rakyat dan tiada yang lebih penting daripada kemanusiaan selaras dengan aspirasi Madani,” katanya. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!