SUNGAI BAKAP - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail menitipkan harapan kepada pengundi di kawasan itu menjelang hari terakhir kempen agar beliau diberikan peluang dipilih sebagai wakil rakyat.
Dalam satu warkah yang dimuatkan di laman media rasminya, beliau bersedia meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff yang bersungguh-sunggh mahu membantu warga Sungai Bakap sebelum ini.
"Sungguh, tidak tertahan sebaknya apabila nama diangkat sebagai calon bagi mewakili PN di DUN Sungai Bakap. Pada asalnya saya hanya sebagai pegawai khas buat arwah Abang Zam.
"Di dalam Pas, kami tidak diajar sama sekali untuk meminta-minta jawatan, kerana ianya amat berat sekali untuk dijawab di hadapan ALLAH SWT kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal berkata, melihat kepada sokongan, dorongan dan doa keluarga, anak muda, pelbagai kaum dan orang ramai, ia menguatkan kembali semangat beliau untuk bertanding pada PRK tersebut.
Menurutnya, apabila teringat kembali bagaimana arwah Abang Zam bersungguh-sungguh membantu warga Sungai Bakap, perkara tersebut menambahkan lagi semangat untuk meneruskan legasi yang ditinggalnya.
"Andai kata saya terpilih untuk menjadi ADUN Sungai Bakap pada kali ini, sekali lagi saya memohon untuk sama-sama bergerak dengan saya, dan janji saya pada penduduk Sungai Bakap khususnya adalah saya tidak akan tinggalkan kerja-kerja kebajikan yang telah saya mulakan bersama arwah Abang Zam.
"Berada di Nibong Tebal ini sejak lahir adalah satu tempoh yang sangat panjang. Kerana di sini adalah tempat saya mencari rezeki, inilah tempat saya berkeluarga, inilah tempat saya menabur bakti,” ujar beliau.
Tambahnya, permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat merupakan permasalahan yang juga dihadapinya sendiri seperti masalah pembangunan dan gangguan air.
"Ayuh bersama-sama kita memberi signal kepada kerajaan bahawa mereka tidak boleh berbuat sesuka hati mereka dengan tetap menekan rakyat sebegini.
"Dan pesan saya, ayuh ajak seluruh keluarga untuk turun mengundi, jangan sesekali membazirkan undi dengan tidak turun mengundi.
"Terakhir daripada saya, banyakkan berdoa, agar ALLAH beri pemimpin yang terbaik buat penduduk Sungai Bakap,” katanya lagi.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Abidin dan calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!