Peluang 50-50 PH, PN menang PRK Sungai Bakap – Ilham Centre

Iklan
Persaingan PRK Sungai Bakap pada Sabtu kekal sengit kerana gabungan PH-BN serta PN masing-masing mempunyai peluang seimbang 50-50 untuk memenangi kerusi itu. Gambar hiasan

SHAH ALAM – Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre menjangkakan persaingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Sabtu kekal sengit kerana gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) masing-masing mempunyai peluang seimbang 50-50 untuk memenangi kerusi itu.

Ilham Centre berkata, jangkaan berkenaan berdasarkan dapatan-dapatan yang diperoleh menerusi kajian lapangan yang dilakukan pihaknya sepanjang kempen berlangsung.

Iklan
Iklan

"Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini daripada PN.

"Ini andainya perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus.

Iklan

"Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini,” kata Ilham Centre menerusi laporan Pola Pengundian Pilihan Raya Kecil N20 Sungai Bakap yang disediakan empat panel penyelidiknya.

PRK DUN Sungai Bakap akan berlangsung pada Sabtu membabitkan pertembungan satu lawan satu antara calon PH-BN, Dr Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail berikutan kematian penyandang kerusi terbabit, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Iklan

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ilham Centre menjelaskan, dapatan yang diperoleh mereka merumuskan tiga faktor penting menentukan keputusan PRK Sungai Bakap iaitu kadar keluar mengundi pemilih etnik Cina, sikap pengundi teras UMNO dan ayunan pengundi muda.

Menurut firma itu, selain tiga faktor utama tersebut, pemboleh ubah dan faktor lain masih lagi sama seperti senario PRN 2023 yang dijangka tidak akan memberi pengaruh besar untuk merubah keputusan PRK ini.

Katanya, pengundi etnik Cina adalah deposit tetap PH sejak beberapa siri pilihan raya sebelumnyaa namun dalam PRK kali ini mereka menunjuk tingkah laku tidak begitu ghairah terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan disebabkan beberapa polisi ekonomi kerajaan serta prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan air dan infrastruktur.

"Sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja.

"Namun senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi.

"Cerapan kami terhadap pengundi India menunjukkan pola sokongan etnik tersebut masih kekal seperti PRN lepas iaitu lebih ramai cenderung kepada PH-BN.

"Mereka juga memberi maklum balas agak meriah terhadap kempen PH-BN dengan keluar mendengar ceramah, terlibat dalam kempen dan sebagainya,” ujarnya.

Ilham Centre menambah, kajian tersebut dilakukan mereka untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan PRK itu serta mahu melihat sikap, tingkah laku dan kecenderungan pengundi.

Ujarnya, kajian lapangan berkenaan dijalankan sebanyak dua fasa iaitu pada pertengahan kempen dan pada pertengahan minggu kedua menuju penghujung kempen.

"Data kajian dikumpul secara triangulasi iaitu pemerhatian ikut serta, temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD).

"Informan (pemberi maklumat) temu bual terdiri daripada penduduk tempatan, pengundi, jentera parti, pemimpin parti serta pemimpin komuniti dan masyarakat,” katanya.

Panel penyelidikan Ilham Centre pula terdiri daripada Ketua Penyelidiknya, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim; Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal dan Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!