Bincang tambah baik mahkamah syariah dalam mesyuarat pertama JKSK

Iklan
Mohd Na’im berucap pada Majlis Pertemuan Khas dan Amanat Menteri Bersama JKSK di sebuah hotel pada Jumaat. Foto Bernama

SEPANG - Syor menambah baik fungsi pengurusan dan pentadbiran mahkamah syariah di seluruh negara antara perkara dibincang dalam Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK) yang berlangsung di sini selama dua hari dan berakhir Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, mesyuarat juga akan mengesyorkan untuk menambah hierarki mahkamah syariah sedia ada kepada empat peringkat berbanding tiga ketika ini iaitu mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.

Iklan
Iklan

"Besar harapan saya agar mesyuarat JKSK menjadi ruang kepada penambahbaikan mahkamah syariah secara keseluruhannya.

"Kerajaan Madani yang menerajui pemerintahan negara sangat komited dalam usaha memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah," katanya kepada media selepas Sesi Khas Pertemuan dan Amanat bersama ahli JKSK di sini malam ini.

Iklan

Beliau berkata, syor atau perkara yang dibincang dalam mesyuarat itu akan diangkat menjadi resolusi untuk dibentangkan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

JKSK adalah jawatankuasa di bawah MKI yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dan pada Februari lepas, nama-nama ahli jawatankuasa telah diangkat untuk perkenan Pengerusi MKI ketika itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Iklan

Baginda telah memperkenan pelantikan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada enam pakar undang-undang dan ahli akademik serta 14 wakil dari setiap negeri yang terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri.

Mesyuarat Kali Pertama JKSK diadakan bagi mempertemukan ahli-ahli serta membincangkan gerak kerja, hala tuju dan menetapkan terma rujukan.

Penubuhan JKSK adalah langkah signifikan dalam usaha memperkukuh serta memperkembang perundangan syariah di Malaysia dan secara khusus berperanan meningkatkan serta memartabatkan sistem kehakiman syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan usaha berterusan kerajaan untuk mempertingkat bidang kuasa, status serta kewibawaan mahkamah syariah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!