'Wujudkan akta khusus kawal selia aktiviti NGO' - CEO MyCARE

Iklan
Kamarul Zaman ketika program ‘Di Sebalik Isu’ bertajuk NGO: Bantu atau Tipu yang dihoskan oleh Finaz Yunus secara langsung menerusi platform Sinar Harian, di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan akta khusus bagi mengawal selia aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) yang kerap menerima sumbangan orang awam agar aspek ketelusan dan kredibiliti dalam pengurusan dana terpelihara sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, NGO berdaftar perlu dikelaskan mengikut kluster contohnya entiti jenama besar dan kecil agar kaedah berbeza dapat dilaksanakan mengikut standard pelaporan kewangan serta pengurusan organisasi terbaik.

Iklan
Iklan

"Tetapi, persoalannya sekarang adalah suruhanjaya mana yang perlu diberi tanggungjawab untuk memantau sama ada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata demikian ketika program ‘Di Sebalik Isu’ bertajuk NGO: Bantu atau Tipu yang dihoskan oleh Finaz Yunus secara langsung menerusi platform Sinar Harian, di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Iklan
Dari kiri: Finaz, Mohd Azmi, Azri dan Kamarul Zaman ketika program ‘Di Sebalik Isu’ bertajuk NGO: Bantu atau Tipu di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Panelis lain yang terlibat dalam menyuarakan pandangan ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Profesor Madya Dr Azri Bhari.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh dipercayai mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan kadar peratusan yang tinggi.

Iklan

Lebih membimbangkan, pempengaruh tersebut didakwa tidak melakukan proses pengauditan atau menunjukkan bukti kutipan sebelum diserahkan kepada golongan sasar.

Kamarul Zaman memaklumkan, berdasarkan pengalaman menguruskan MyCARE sejak penubuhannya pada 2010 lampau, pihaknya menggunakan kos operasi kira-kira 10 hingga 15 peratus sahaja daripada nilai kebiasaan.

Tambah beliau, bentuk pelaburan yang dijalankan MyCARE adalah selamat dan wajib dinyatakan dalam laporan audit.

"Memang MyCARE ada beli bangunan dan sudah dilaporkan, kita lalui segala proses ini sebagai entiti di bawah SSM dan telah diberi kelulusan.

"Bukan setakat lulus sahaja, kita perlu memohon kelulusan menteri pula asalkan ia bersesuaian dengan proses dan kesemuanya wajib didokumentasikan," ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!