JEMPOL -"Alhamdulillah, keadaan Ayra semakin pulih, mata dan kulit dah tak kuning".
Itu luahan Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, ibu kepada Ayra Sumayyah Mohamad Assahid berusia setahun yang sebelum ini menderita kegagalan fungsi hati.
Ibunya berkata, selepas menjalani pemindahan hati di Hospital Renji, China pada 12 Jun lalu, Ayra semakin pulih.
"Dia semakin aktif dan sihat, tiada ayat yang lebih indah untuk saya luahan selain rasa syukur sebab selama setahun saya menjaganya, tak pernah nampak matanya putih, kini alhamdulilah, mata dan badan tak kuning.
"Saya mendermakan hati sebanyak 20 peratus kepadanya. Perasaan takut dan bimbang hilang apabila melihat perubahan positif Ayra," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang ibu bersedia mendermakan sebahagian hati untuk bayi perempuannya yang menghidap kegagalan fungsi hati, namun menjadi kebuntuannya ketika itu adalah dana RM250,000 masih belum mencukupi.
Dalam pada itu, Noor Shahieda berkata, pasukan perubatan mengambil masa selama lima jam untuk memindahkan hatinya, manakala anaknya pula lapan jam.
"Ayra pula selepas pembedahan, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Renji bagi pemantauan selama lima hari.
"Kali pertama saya dapat lihat dia selepas keluar dari ICU, saya rasa sebak dan bersyukur," katanya.
Noor Shahieda berkata, suaminya, Sarjan Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35, yang merupakan anggota tentera turut mengambil cuti selama sebulan untuk sama-sama menguruskan anaknya itu di China.
"Saya pulang ke Malaysia pada 26 Jun lepas dan Ayra kemudiannya ditempatkan terlebih dahulu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang.
"Masa pergi ke sana kami hanya dapat mengumpul dan lebih RM100,000. Kos pembedahan itu kemudiannya dicukupkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) turut menyumbang sebanyak RM30,000.
"Terima kasih tidak terhingga buat semua pihak yang telah membantu menyumbang bagi tujuan kesihatan Ayra.
"Semuanya berjalan lancar dan kini Ayra perlu mengambil ubat mengikut saranan doktor termasuklah rawatan susulan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!