Berbaloi ulang-alik Machang ke Batu Kurau ambil bekalan durian

Iklan
Durian kampung yang dijual di gerai Mohamad Azim

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri dari Labok, Machang sanggup berulang-alik lapan jam setiap hari ke sebuah ladang di Batu Kurau, Perak untuk mengambil bekalan durian berikutan sambutan menggalakkan daripada peminat raja buah itu di negeri ini.

Kegigihan Mohamad Azim Abdul Rashid, 29, dan Siti Noor Fazera Mokhtar meredah perjalanan 200 kilometer sehala itu ternyata berbaloi apabila durian kampung yang dijual antara 700 hingga 800 kilogram (kg) habis setiap hari.

Iklan
Iklan
Mohamad Azim

Mohamad Azim mengakui perjalanan selama lapan jam pergi dan balik ke ladang durian memenatkan, namun berpuas hati kerana dapat menjual buah segar setiap hari.

"Kami akan tiba di sana pada jam 12 malam dan segera memenuhkan pacuan empat roda dengan buah durian sebelum terus bertolak pulang ke Kota Bharu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan
Pelanggan memilih durian yang dijual oleh Mohamad Azim

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, mereka akan tiba di rumah jam 5 pagi dan berehat sebentar sebelum menguruskan anak-akan ke sekolah.

"Kami kemudian akan ke lokasi menjual durian kira-kira jam 9 pagi sudah ramai peminat buah itu menunggu untuk membeli," katanya.

Iklan

Tambah Mohamad Azim lagi, durian akan habis lebih awal pada hari Jumaat berkemungkinan ramai yang tidak bekerja dan mengambil peluang menikmati buah bersama keluarga.

Jelasnya lagi, ramai pelanggan yang memberitahu durian kampung enak dibuat pulut durian selain sambal dan tempoyak.

Siti Noor Fazera (kanan) bersama pelanggan yang membeli durian.

Mohamad Azim dan Siti Noor Fazera sebelum ini membantu keluarga menjual durian di sebuah pasar di Machang, namun mengambil keputusan berniaga raja buah itu dua hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Alhamdulillah, durian memang mendapat sambutan daripada orang ramai ketika ini namun buah itu masih tidak banyak di Kelantan," katanya.

Katanya, ada cabaran yang mereka hadapi ketika berniaga durian termasuk tayar kenderaan pancit dan tiada buah di ladang tetapi itu semua tidak melemahkan semangat untuk membawa pulang durian kepada penggemarnya.

"Ada juga pelanggan yang memulangkan semula buah yang rosak tetapi kita faham kerana mereka mahu yang terbaik untuk dinikmati," katanya.

Mohamad Azim juga berhasrat berniaga durian di Nenggiri, Gua Musang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) jika berpeluang.

"Kami ada hasrat membuka meja supaya pelanggan dapat menikmati durian selepas sibuk berkempen walaupun mungkin berdepan ramai peniaga lain di sana," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!