Nasib penduduk Gaza seperti buah catur

Iklan
Arahan pemindahan paksa baharu itu menyebabkan gelombang pergerakan berskala besar di selatan Gaza.

GENTING GAZA - Ratusan ribu penduduk Palestin telah meninggalkan selatan Genting Gaza sejak arahan pemindahan paksa dikeluarkan pada awal minggu lalu.

Sejak Rabu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kembali memperhebatkan kempen pengeboman ke atas daerah Shujaiya, kira-kira 10 hari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memaklumkan kononnya 'fasa sengit' peperangan itu bakal berakhir tidak lama lagi.

Iklan
Iklan
Keadaan di Khan Yunis yang binasa sehari selepas hujan bom dilancarkan rejim Zionis pada awal minggu lalu.

Rejim Zionis mendakwa telah membedil lebih 50 infrastruktur milik Hamas di seluruh enklaf berkenaan manakala unit infantri menyerbu terowong rahsia untuk menghapuskan saki-baki pejuang bumi Gaza tersebut.

Serangan rentas sempadan Tel Aviv-Beirut juga semakin meningkat di tengah-tengah kebimbangan jika perang berskala besar bakal meletus antara rejim Zionis dan pejuang Hizbullah dalam masa terdekat.

Iklan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan perang yang tiada kesudahan di Gaza menyebabkan malapetaka kemanusiaan dahsyat dan arahan berpindah baharu ke atas penduduk Palestin telah memburukkan lagi penderitaan mereka.

Kebanyakan keluarga terpaksa berpindah lebih lima kali sejak sembilan bulan lalu.

Penduduk Gaza yang sudah lelah dengan ofensif ganas itu sekali lagi terpaksa berpindah meskipun tiada lagi tempat selamat boleh dituju.

Iklan

Antaranya ialah Umm Bashar al-Jamal, 42, yang kini berlindung di Stadium Sukan Yarmuk di Bandar Gaza.

Langkah pengusiran baharu itu telah mencetuskan gelombang perpindahan berskala besar di Gaza.

Unit kereta kebal IDF bersama jengkaut kini melancarkan kempen perobohan kediaman penduduk Palestin.

Ketua Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Andrea De Domenico turut mendedahkan seramai sembilan daripada 10 orang di Gaza terpaksa merempat lebih sekali sejak perang genosid itu tercetus pada 7 Oktober lalu.

"Di sebalik angka itu ialah mangsa kekejaman rejim Zionis yang masih menyimpan harapan dan ada yang menantikan perkara ajaib berlaku untuk menghentikan peperangan tersebut. Nasib penduduk Gaza seperti buah catur,” katanya.

Sekumpulan kanak-kanak Palestin mengutip tomato yang bertaburan di atas jalan raya selepas beberapa kotak terjatuh dari trak bantuan di selatan Gaza.

Ketika malapetaka kemanusiaan semakin buruk, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lebih 150,000 penduduk Palestin kini diserang penyakit kulit disebabkan keadaan 'bandar khemah' yang serba daif.

Ibu kepada tujuh anak, Wafaa Elwan berkata, mereka sekeluarga tidur tanpa beralas apa-apa di atas tanah.

"Badan anak lelaki saya yang berusia lima tahun kini dipenuhi ruam dan dia sentiasa menggaru hingga tidak boleh tidur pada waktu malam,” ujarnya.

Data terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan di Gaza menunjukkan angka korban kezaliman rejim Zionis sejak sembilan lalu telah melepasi 38,000 orang.

Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal terpaksa mendirikan khemah sementara di tepi jalan.

Sehingga kini, usaha untuk mencapai gencatan senjata secara kekal masih menemui jalan buntu meskipun beberapa pusingan rundingan telah berlangsung. SUMBER: AFP/Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!