Siapa lambat dia menang!

Iklan
Penyertaan motor siput terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berusia 18 tahun ke atas mengikut syarat-syarat ditetapkan. Gambar hiasan. Gambar kecil: Nur Farhana

SHAH ALAM - Buat julung kalinya Pertandingan Motor Siput diadakan sempena Karnival Rakyat Karangkraf iaitu pada 28 Julai ini dengan misi untuk mencari penunggang motosikal paling perlahan sebagai pemenang.

Penganjurnya, Nur Farhana Abdul Manan berkata, aktiviti tersebut dibuka kepada semua lapisan masyarakat yang berusia 18 tahun ke atas dan memenuhi beberapa syarat ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Peserta akan bertanding dalam beberapa pusingan dan pemenang akan dipilih pada sesi akhir. Siapa paling lambat sampai ke garisan penamat dialah pemenangnya.

"Penyertaan adalah percuma tetapi peserta wajib mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang belum tamat tempoh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Karnival Rakyat Karangkraf bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Julai bertempat di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Program berkenaan dianjurkan sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian selain meraikan keunikan warisan budaya Malaysia serta memberikan penghargaan kepada pembaca setia akhbar tersebut.

Iklan

Farhana memaklumkan, pertandingan terbuka kepada semua jenis motosikal kecuali yang beroda tiga dan perlu menggunakan kenderaan sendiri.

Tambahnya, aktiviti berkenaan akan diadakan dalam dua sesi iaitu dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, manakala sesi kedua pula bermula dari jam 2 hingga 5 petang.

"Untuk menyertai, peserta perlu mendaftar terlebih dahulu dengan mengisi borang penyertaan melalui pautan https://jom.sinar.la/34etb6sd dan hubungi Nell di talian 019-6680275 untuk keterangan lanjut.

"Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 24 Julai 2024. Untuk makluman, pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan atau kematian, kerosakan kenderaan peserta sepanjang pertandingan berlangsung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farhana turut mengingatkan peserta supaya memakai topi keledar sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurutnya, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM150 dan hamper, kedua (RM100 + hamper) serta ketiga (RM50 + hamper),

Katanya, bagi pemenang tempat keempat dan kelima pula akan menerima hamper sahaja.