PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Nafuzi Zain lega selepas pasukannya berjaya mengharungi perlawanan sukar menentang Penang FC, malam tadi dan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala FA.
Katanya, berbekalkan satu jaringan yang diperoleh dalam perlawanan suku akhir pertama sebelum ini menjadikan perlawanan kedua malam tadi begitu mendebarkan apatah lagi bermain di hadapan lebih 16,000 penyokong setia Hijau Kuning.
Mohd Nafuzi berkata, perubahan taktikal, semangat juang, keyakinan serta komitmen semua pemain akhirnya membolehkan KDA FC menyekat Penang FC daripada memperoleh sebarang gol dalam perlawanan tersebut.
"Alhamdulillah terima kasih kepada pemain, saya rasa perlawanan sangat sukar walaupun bermain di tempat sendiri, saya tahu berbekalkan satu jaringan adalah situasi agak mendebarkan untuk kita bertahan.
"Jadi kita terapkan strategi serangan dan pada masa sama melindungi satu gol yang kita ada, ia situasi berbeza dan mencabar, namun terima kasih kepada pemain yang bersemangat hingga ke akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Penang FC yang berkesudahan keputusan 0-0 di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Keputusan itu membolehkan KDA FC melangkah ke pusingan separuh akhir untuk bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akui kecewa dengan keputusan itu yang menyaksikan kelemahan di bahagian serangan untuk menghasilkan jaringan.
"Kita sudah ada perbincangan dengan pihak pengurusan untuk bawa masuk pemain import kuota Asia bagi mengisi bahagian serangan dan pemain tempatan di posisi sama...dan saya harap ïa akan merubah corak permainan,” katanya. - Bernama