[VIDEO] Tukang jahit masih setia di Wisma Punca Emas

Iklan

SEREMBAN - Jika dilihat dari keadaan luar bangunan Wisma Punca Emas di sini, siapa sangka masih ada peniaga yang meneruskan operasi di situ.

Ini kerana, bangunan berusia lebih 40 tahun terbabit yang terletak di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini, sudah kelihatan seperti bangunan tinggal.

Iklan
Iklan

Ia selepas insiden kebakaran yang berlaku enam tahun lalu yang mengakibatkan bekalan elektrik keseluruhan bangunan itu terputus.

Sejak itu, ramai peniaga yang berpindah keluar melainkan kedai Tukang Jahit Gentlemen yang masih setia di situ hingga kini.

Kedai Tukang Jahit Gentlemen satu-satunya yang masih beroperasi di Wisma Punca Emas.

Iklan

Pemiliknya, Chiew Chea Cheong, 69, berkata, dia memilih untuk terus kekal beroperasi di situ kerana sudah selesa.

"Lagipun saya dah ada pelanggan tetap yang kebanyakannya Melayu dan mereka juga senang untuk datang ke sini.

Iklan

"Saya dah beroperasi di sini sejak tahun 1983 lagi dan sewanya juga murah hanya RM300 sebulan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, sejak bangunan itu terbakar, pemiliknya tidak lagi mengenakan apa-apa bayaran disebabkan bangunan terbabit tiada lagi kemudahan elektrik.

Wisma Punca Emas

Tambahnya, selepas insiden berkenaan, sedikit demi sedikit, peniaga di situ berpindah keluar.

"Sekarang, hanya saya saja yang tinggal di sini dan untuk teruskan operasi, saya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

"Setiap hari kira-kira RM15 saya peruntukan untuk beli petrol untuk kegunaan generator. Jika dulu saya kongsi dengan sebuah klinik di tingkat atas, tapi dia dah tutup operasi sejak dua tahun lalu," katanya.

Chea Cheong tekun menyiapkan tempahan pelanggan.

Chea Cheong berkata, dia bersyukur tidak pernah berlaku kejadian pelik sepanjang beroperasi di situ dalam keadaan 'gelap'.

Ujarnya, jika mahu menggunakan tandas, dia menumpang bangunan Yayasan Negeri Sembilan di bersebelahan.

"Saya tak fikir lagi mahu berpindah di mana-mana. Lagi pun saya sudah tua dan terus ambil upah menjahit kerana inilah sumber pendapatan dari dulu," katanya yang beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 6 petang.

Generator digunakan untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Bercerita mengenai bangunan itu, Chea Chong berkata, pada waktu dahulu, ia antara paling popular di Seremban dan menjadi tumpuan ramai.

Bagaimanapun katanya, sekitar tahun 2000 sedikit demi sedikit peniaga keluar berpindah ke tempat lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!