Kebolehpasaran graduan TVET KKDW capai tahap 98.7 peratus

Iklan
Ahmad Zahid ketika melawat reruai selepas perasmian sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan anak muda Madani 1.0 di Padang Sekolah Menengah Sultan Ibrahim 1 pada Sabtu. - Foto Bernama

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memperoleh peluang pekerjaan sejurus menamatkan pengajian di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berada pada tahap 98.7 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peratusan itu mengatasi kebolehpasaran graduan TVET peringkat nasional iaitu pada tahap 94.5 peratus.

Iklan
Iklan

"Ini menunjukkan kursus-kursus yang diperkenalkan oleh intitusi Mara (Majlis Amanah Rakyat),Felcra dan Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) dibuat mengikut permintaan pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Padang Sekolah Sultan Ibrahim 1 dekat sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, KKDW telah membuka permohonan secara dalam talian kepada mereka yang berminat dalam bidang ini menerusi UP_TVET dengan menawarkan sepuluh pilihan bidang pengajian.

Iklan

Menurutnya, peluang ini tidak boleh dilepaskan kerana banyak tempat disediakan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran.

Beliau berkata, walaupun keputusan SPM kurang baik, namun dengan mengikuti TVET mereka boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Iklan

Jelasnya, hal ini kerana Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan Tahap II bertaraf sijil yang membolehkan mereka meneruskan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

"Tahap tiga hingga lima bertaraf diploma. Sebanyak lima universiti menawarkan peluang menyambung pengajian kepada lulusan TVET iaitu Universiti Kuala Lumpur (UNiKL), Universiti Teknikal Melaka, Universiti Tun Hussien Onn, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UNiKL turut menyediakan peluang menyambung pengajian kepada mereka yang sudah bekerja menggunakan waktu anjal.

Katanya, sebelum ini pendekatan itu tiada dan ia perlu dimanfaatkan sebagai mungkin dalam meningkatkan kemahiran.

"Tahun ini sahaja pelaburan asing masuk ke Malaysia bernilai RM60 juta, universiti tidak mampu mengeluarkan pekerja yang mempunyai kemahiran untuk menampung keperluan.

"Jadi TVET lah penyelesaiannya, jadi peluang ini perlu dimanfaatkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!