PGA, PPM rekod rampasan 24,910 liter petrol

Iklan
Polis menggagalkan cubaan penyeludupan petrol menerusi pelbagai siri operasi dan risikan. Gambar kecil: Mohd Kamarudin

SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kejayaan rampasan 24,910 liter petrol bernilai RM46,883.50 bagi tempoh satu bulan Jun lalu.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, statistik itu melibatkan 39 kes yang direkodkan oleh elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil risikan dan operasi mendedahkan modus operandi kegiatan penyeludupan petrol adalah dengan mengisi bahan api di stesen minyak ke tangki kenderaan persendirian yang diubah suai dan dengan menggunakan tong 'jerry can'.

"Kemudian, ia dikumpulkan di stor atau pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok sebelum dipindahkan ke tong-tong minyak untuk dibawa dengan bot menyeberangi sungai.

Iklan

"Di Sabah dan Sarawak juga, penyeludup menggunakan modus operandi yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, perbezaan harga petrol di negara luar yang jauh lebih tinggi mendorong aktiviti penyeludupan ini berlaku kerana ia memberi pulangan yang tinggi kepada penyeludup.

Iklan

Jelasnya, dalam menangani isu penyeludupan petrol, pihaknya juga menjalankan penguatkuasaan pengisian berulang ke atas kenderaan terutama di sempadan negara.

"Tindakan drastik ini diyakini mampu mengurangkan penyelewengan petrol," ujarnya.

Tambah Mohd Kamarudin, pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan penyeludupan petrol ini dapat dibendung sekali gus mengurangkan ketirisan hasil negara seterusnya memastikan petrol bersubsidi benar-benar sampai kepada golongan sasar.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan terdapat peningkatan kes rampasan petrol RON95 apabila mencatatkan 46 kes membabitkan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Jumlah itu berbeza apabila hanya 14 kes rampasan diesel membabitkan 68,457 liter direkodkan dalam tempoh itu.

Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula 10 Jun di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!