BNM perjelas pelaksanaan pembayaran bersama produk MHIT

Iklan
BNM perjelas pelaksanaan pembayaran bersama produk MHIT - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) ke atas syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bermula 1 September ini dibuat bagi menangani inflasi kos perubatan yang terus meningkat.

Bank Negara (BNM) dalam satu kenyataan berkata, berkuat kuasa tempoh itu juga ITO dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri perkongsian kos manakala pengguna yang telah membelinya tanpa ciri tersebut boleh mengekalkan produk sedia ada mereka.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu.

"Pengambilan produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan untuk membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia melalui kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan.

Iklan

"Langkah ini dilaksanakan bersama-sama pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan yang telah diterbitkan kerajaan.

"Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos perubatan agar pengguna dapat membuat pilihan yang sesuai apabila mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Iklan

"Oleh itu, pendekatan seluruh negara diperlukan untuk membendung inflasi kos perubatan sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Bank pusat itu melalui kenyataan sama turut menjelaskan, dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk pada kos yang lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka.

Malah katanya, produk berkenaan dengan ciri-ciri pembayaran bersama bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia.

"Berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium atau sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih rendah sebanyak 19 hingga 68 peratus berbanding dengan produk yang serupa tetapi tidak mempunyai ciri-ciri tersebut.

"Tahap premium atau sumbangan ini juga bergantung pada tahap pembayaran bersama yang dipilih. ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama yang memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna yang berbeza-beza," katanya.

Tambah BNM lagi, bagi melindungi kepentingan pengguna beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ITO ditetapkan.

Antara syaratnya, pembayaran bersama ini tidak akan terpakai dalam beberapa keadaan antaranya rawatan kecemasan termasuk untuk kes kemalangan.

"Selain itu, ia juga tidak terpakai bagi rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan penyakit kritikal seperti kanser atau dialisis buah pinggang dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan," katanya.

Pada 1 Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat memberitahu BNM mewajibkan ITO yang menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri pembayaran bersama dalam produk itu bermula suku ketiga tahun ini.

Hui Ying berkata, ia antara langkah untuk menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak.

Penjelasan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kenaikan kos premium insurans perubatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!