KLUANG - Gara-gara hilang kawalan ketika menunggang motosikal, dua penunggang motosikal maut dalam nahas di kilometer (KM) 78, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner, Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung nahas berkenaan sekitar jam 11.20 malam melibatkan seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun serta seorang individu dipercayai warga Myanmar berusia sekitar 40-an.
"Hasil siasatan awal mendapati, motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggang pelajar terbabit dalam perjalanan dari arah Machap ke Simpang Renggam manakala motosikal jenis Suzuki RG Sports yang ditunggang individu dipercayai warga Myanmar dari arah Simpang Renggam menghala ke Machap.
"Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang pelajar berkenaan hilang kawalan hingga masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggang individu dipercayai warga Myanmar tersebut.
"Akibat perlanggaran itu, pelajar berusia 16 tahun itu maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala sementara individu dipercayai warga Myanmar itu pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK),” katanya.
Menurutnya, siasatan turut mendapati, pelajar berkenaan tidak memiliki lesen memandu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!