[VIDEO] 'Kerajaan fokus dapatkan kembali aset 1MDB' - Saifuddin

Iklan

PUTRAJAYA - Kerajaan hanya memberi tumpuan kepada penghantaran balik aset yang dibeli secara salah menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kerajaan maklum mengenai perjanjian dibuat antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dan orang dalam pemburuan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perjanjian itu melibatkan pemulangan aset dan barangan yang dibeli oleh Jho Low menggunakan dana 1MDB.

Saifuddin Nasution Foto Bernama

Kata beliau, kerajaan difahamkan ada penyelesaian di antara DOJ dan Jho Low.

Iklan

"Perjanjian itu adalah perkara yang diuruskan oleh DOJ AS dan ia melibatkan pemulangan aset 1MDB kepada badan kehakiman tersebut.

Beliau berkata demikian selepas program Larian Hari Polis 'Community Safety Run' sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya.

Iklan

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, apa-apa penjanjian antara DOJ dengan Jho Low adalah di luar bidang kuasa kerajaan.

Tegas beliau, fokus kerajaan hanya melibatkan proses penghantaran pulang aset negara.

Ditanya sama ada pemburuan dan penyiasatan ke atas Low akan terjejas berikutan perjanjian itu, Saifuddin berkata, tumpuan kerajaan akan hanya diberikan kepada penghantaran balik aset.

Tegas beliau, perkara itu menjadi keutamaan kepada kerajaan pada ketika ini bagi melihat aset negara dapat dikembalikan dengan selamat.

Menurut beliau, penghantaran balik aset dan dana 1MDB telah dijalankan sejak pentadbiran terdahulu.

Media baru-baru ini melaporkan Jho Low yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB bersetuju memulangkan harta berjumlah AS$100 juta atau kira-kira RM471 juta.

Perkara lucut hak itu telah diumumkan oleh Jabatan Kehakiman DOJ selepas Hakim Daerah AS, Dale Fischer di Los Angeles meluluskan perjanjian persetujuan dengan Jho Low serta keluarganya pada Isnin.

Antara yang diserahkan oleh Jho Low termasuk sebuah apartment mewah di Paris, karya seni Claude Monet dan Andy Warhol dengan nilai mencecah ratusan juta ringgit.

DOJ menyatakan bahawa Jho Low membayar kira-kira AS$35 juta (RM146.57 juta) untuk lukisan Monet ‘Vetheuil au Soleil’, lukisan Warhol ‘Colored Campbell’s Soup Can (Emerald Green) 1965 dan apartmen di Paris.

Dia dan keluarganya difahamkan akan menyerahkan harta berjumlah AS$67 juta (RM280.47 juta) termasuk hartanah dan akaun bank di Hong Kong, Singapura dan Switzerland.

Sebelum ini beberapa aset sudah dilucut hak dengan nilai hampir AS$1 bilion (RM4.19 bilion) termasuk 'superyatch’ bernilai AS$120 juta (RM503 juta) milik Jho Low dan keluarganya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!