SUNGAI BAKAP - Lima bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri tidak melepaskan peluang hadir bersama ke sekolah itu untuk mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap buat kali pertama pada Sabtu.
Hana Humaira Yusrizal, 19, berkata, dia bersama rakan sebaya, Amirah Syakirah Ardeni; Farah Farhana Azhar; Nur Athirah Mohd Zahid dan Nur Afiqa Syamimi Mohd Zaidi menjadikan hari mengundi sebagai pertemuan semula selepas masing-masing membawa haluan setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, mereka merancang untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi melalui aplikasi WhatsApp memandangkan tiada pengalaman sebelum ini.
"Rasa gementar juga kalau mai sorang-sorang, bila ramai tak segan sangat, lagipun sekolah ini mengimbau kembali kenangan kami.
"Teruja juga sebab kali pertama," katanya.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai tarikh pengundian PRK Sungai Bakap.
Dua calon bertanding dalam pertembungan satu lawan satu antara wakil Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.
Seramai 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Nor Zamri (PN) yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal berjaya menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.