Ubah pendidikan tahfiz, pelajar ceburi kerjaya profesional

Iklan
Ahmad Zahid bertemu ahli 5PMCK pada majlis Majlis Pelancaran 30 tahun persatuan itu pada Sabtu.

PASIR MAS - Kerajaan sedang berusaha melakukan perubahan terhadap pendidikan maahad tahfiz di negara ini bagi memastikan pelajarnya tidak terpinggir dan berpeluang menceburi kerjaya dalam bidang profesional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini terdapat 1,199 maahad tahfiz di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kira-kira 125,000 pelajar.

Iklan
Iklan

"Mungkin terdapat lebih 2,000 yang tidak mendaftar sama ada mereka sengaja tidak memohon mendaftar atau tidak cukup syarat untuk didaftarkan yang melibatkan kira-kira 250,000 pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 30 tahun Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Kelantan (5PMCK) pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Zahid memberitahu, sehingga kini terdapat 17 maahad tahfiz yang pelajarnya merupakan huffaz 30 juzuk al-Quran berjaya mengikuti pengajian di beberapa universiti teknikal seluruh negara.

"Anak-anak huffaz ini bukan sahaja bergelar imam malah boleh mempunyai kerjaya hebat pada masa depan sesuai dengan Malaysia yang mahu menjadi negara maju," katanya.

Iklan

Katanya lagi, hafazan al-Quran menjadi keutamaan namun perlu ada saluran bagi membolehkan lepasan maahad tahfiz berjaya menceburi bidang profesional seperti jurutera, akauntan dan peguam.

Tambah Ahmad Zahid, pelajar yang mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dapat mempelajari mata pelajaran lain dengan mudah.

"Insya-ALLAH ada dalam kalangan mereka yang sudah ditentukan mengikut minat mereka dalam pelbagai bidang profesianal yang ditawarkan," katanya.

Jelas Ahmad Zahid, melalui Dasar Maahad Tahfiz Negara 2.0. yang akan dilancarkan September depan, beliau diberi tanggungjawab untuk melihat kejayaan masa depan pelajar tahfiz.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid bersetuju meluluskan RM100,000 kepada 5PMCK dan daripada jumlah itu sebanyak RM50,000 dalam bentuk zakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!