PRK Sungai Bakap: Raja sehari datang mengundi sebelum bersanding

Iklan
Muhammad Syafiq menunjukkan 'inai biru' selepas selesai mengundi di SK Jawi pada Sabtu.

SUNGAI BAKAP - Walaupun sibuk dengan majlis persandingan, namun ia tidak menghalang Muhammad Syafiq Mohd Rozei, 29, untuk mencuri masa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu.

Muhammad Syafiq yang ditemani isterinya, Munirah Yahya, 24 mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi di sini pada jam 12.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

Pasangan mempelai yang lengkap berbusana pengantin itu menarik perhatian orang ramai di pusat pengundian terbabit.

Menurut Muhammad Syafiq yang berkerja sendiri itu, dia dan isteri telah lama merancang untuk mengadakan majlis persandingan pada tarikh hari ini, namun tidak menyangka ia sama pada hari mengundi PRK Sungai Bakap.

Iklan

"Kami rancang sejak awal tahun lagi, namun tak sangka pula akan sama dengan tarikh mengundi.

"Saya pada mulanya bimbang juga tak sempat untuk hadir ke pusat mengundi, tapi selepas berbincang dengan isteri kami setuju untuk tunaikan tanggungjawab dahulu sebelum terus ke majlis persandingan yang diadakan pada jam 1 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Iklan

Mengakui momen itu akan menjadi kenangan terindah buat dia sekeluarga, Muhammad Syafiq berkata, dia juga tidak memakai inai dijari kerana perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, inai merah yang sepatutnya dipakai dijari ditukar dengan 'inai biru' yang dicelup petugas SPR selepas dia selesai melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebentar tadi.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara wakil Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Ia diadakan pada 6 Julai susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal memenangi kerusi N20 berkenaan setelah mengalahkan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.