MELAKA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan harga durian di pasaran tempatan tidak akan meningkat tinggi meskipun durian segar akan dieksport ke negara China pada September depan.
Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, ini kerana pada tahun ini tempoh buah durian agak panjang sehingga September ini sekali gus memberi peluang Malaysia bersaing dengan pengeksport negara lain seperti Thailand dan Vietnam.
Menurutnya, malah pengekspotan itu juga hanya melibatkan durian klon kategori premium seperti Musang King, IOI dan Duri Hitam dan pengguna masih mempunyai pelbagai pilihan lain berserta gred raja buah itu.
"Pengguna masih ada pilihan gred B, C dan seterusnya termasuk durian kampung.
"Jadi akan ada lagi durian mampu milik di pasaran, cuma kalau ada pun mungkin harganya sedikit meningkat dan pengguna juga harus faham, berpatutan kenaikan kos yang perlu ditanggung usahawan atau petani," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Kendurian @ Jualan Agro Madani di pasar raya AEON Bandaraya Melaka di sini, pada Sabtu.
Abdul Rashid mengulas mengenai jaminan FAMA untuk memastikan bekalan durian di negara ini tidak berlaku peningkatan drastik pada masa hadapan susulan KPKM menjangkakan eksport durian segar ke China dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.
Tambah beliau, setakat ini juga belum diputuskan kaedah terbaik bagi menjaga kualiti buah itu sama ada penghantaran dilakukan menggunakan laluan udara atau kapal laut.
"Nanti kalau kita hantar guna udara satu tan metrik, kalau kapal laut boleh mencapai 10 hingga 20 tan metrik, namun belum putuskan lagi sama ada udara atau kapal bergantung kepada bekalan yang akan kita pilih nanti.
"Kita tengok pada bulan September nanti bekalan banyak lagi atau tidak, nilai kalau laut satu kontena, dijangka mencecah RM200,000 ke RM300,000 membabitkan 10 ke 20 tan metrik durian segar," ujarnya.
Media pada Isnin lalu menyiarkan Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang Dewan Rakyat menyatakan pengeksportan itu susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, 19 Jun lalu.
Ketika ini, Malaysia sedang melalui proses untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) yang mengambil masa dua hingga tiga bulan dan KPKM melalui Jabatan Pertanian sedang memuktamadkan Sijil Fitosanitasi bersama GACC.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!