JPJ Terengganu ambil tindakan terhadap 44 bas persiaran

Iklan
Mohd Zamri pada sidang media pada Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) di Pulau Warisan pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengambil tindakan terhadap 44 bas persiaran atas pelbagai kesalahan bermula Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, jumlah itu hasil daripada pemeriksaan anggota dan pegawainya ke atas 1,349 kenderaan perkhidmatan awam di seluruh negeri.

Iklan
Iklan

"Secara perbandingan bagi tahun 2023 kita telah memeriksa sebanyak 1,680 kenderaan perkhidmatan awam dan mengambil tindakan terhadap 79 kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) peringkat JPJ Negeri Terengganu di pekarangan parkir Masjid Terapung Kuala Ibai dekat sini pada Sabtu.

Mohd Zamri berkata, antara kesalahan paling banyak dikesan sama ada pada tahun lepas atau hingga Mei tahun ini adalah perakuan Puspakom tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal seperti pemadam api luput tarikh, tiada peti pertolongan cemas dan pemasangan aksesori merbahaya.

Iklan
Mohd Zamri (dua dari kiri) memeriksa permit bas pada Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) di Pulau Warisan pada Sabtu.

Beliau berkata, sebanyak 11 kenderaan perkhidmatan awam terutama bas persiaran diperiksa dengan empat saman dikeluarkan dalam operasi khas bersepadu yang dijalankan hari ini bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia; Agensi Anti Dadah Kebangsaan; serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata, sebanyak dua kes membabitkan kesalahan tiada pemandu kedua dan masing-masing satu kes berkaitan kesalahan tiada pemandu pelancong dan salah guna permit pelancongan.

Iklan

Menerusi operasi yang dijalankan hari ini turut mengesan sebuah bas yang mempunyai permit bas sekolah, namun membawa rombongan keluarga dari Kedah untuk menghadiri kenduri di Terengganu.

"Sepatutnya (bas sekolah) hanya boleh dibawa dalam lingkungan 30 kilometer dan membawa murid sekolah sahaja. Kenderaan itu berisiko kerana kapasitinya hanya sebagai bas sekolah sahaja,” katanya sambil menambah tindakan sewajarnya akan diambil terhadap syarikat bas berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!