Amanah idam kerusi Parlimen Kuala Kangsar

Iklan
Adly (kanan) ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera (ATM) di sebuah hotel pada Sabtu.

TAIPING - Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan hasrat untuk meletakkan calon jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dalam masa terdekat.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, berdasarkan rekod lalu, parti tersebut bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan hasrat itu ingin diteruskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun sebarang keputusan hanya akan dibuat jika kerusi tersebut diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Jadi sebab itu kalau kita lihat memang Amanah daripada awal memang memberikan tumpuan kepada kerusi Kuala Kangsar dan memang kita akan bawa dalam PH dan mengharapkan kita diberi peluang di Kuala Kangsar, tapi secara asasnya memang kita akan bincang dengan Kerajaan Perpaduan dan akhirnya kita akan akur," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera (ATM) di sebuah hotel dekat sini pada Sabtu.

Iklan

Adly berkata, perbincangan dalam kalangan parti di dalam Kerajaan Perpaduan amat penting bagi memastikan tidak berlaku pertembungan jika berlaku PRK nanti.

Sinar Harian pada 1 Julai lalu melaporkan bahawa Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman yakin bahawa parti itu akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Kuala Kangsar jika berlaku PRK.

Iklan

Pada 20 Jun lalu Bersatu menerusi satu kenyataan memberitahu notis permakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen mereka telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Untuk rekod pada PRU15, Iskandar Dzulkarnain menang di Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Maslin Sham yang memperoleh 10,814 undi diikuti calon PH, Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!