Tindakan Noh sertai Bersatu sudah dijangka

Iklan
Mohd Razlan (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung UMNO Bahagian Kemaman di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman pada Sabtu.

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Keputusan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah dijangka sejak awal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, tindak-tanduk pemimpin itu telah dapat dihidu sejak awal dan ia lebih ketara selepas tidak dicalonkan di Parliman Tanjung Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Iklan
Iklan

"Kita sudah menjangka beliau akan menyertai Bersatu kerana beliau daripada awal telah menikam belakang UMNO sebab itu tak dicalonkan di Tanjong Karang baru-baru ini.

"(Pada pilihan raya itu), beliau (Noh) ) sudah gerakkan seluruh jentera yang bersama beliau untuk membantu, akhirnya UMNO kalah di Parlimen Tanjong Karang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung UMNO Bahagian Kemaman di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di sini, pada Sabtu.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Mohd Razlan berkata, situasi yang berlaku di parlimen itu boleh diumpamakan seperti buku dengan ruas apabila wakil rakyat yang dipilih mengkhianati kepercayaan diberikan rakyat.

"Ahli Parlimen Tanjong Karang hari ini pun sudah bergelar parti bebas walaupun bekerja bersungguh-sungguh untuk kalahkan UMNO.

Iklan

"Pengkhianatan dibuat kepada UMNO ini telah pulang semula kepada parti Bersatu dan saya harap beliau (Noh) success dalam Bersatu,"ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata langkah penting perlu diambil bagi membersihkan UMNO daripada individu bergelar tali barut.

"Pemimpin seperti ini hanya memainkan isu kononnya mereka memperjuang nasib DSNR (Datuk Seri Najib Razak) sedangkan kita tahu ketika mereka dalam kerajaan isu itu tidak diperjuangkan.

"Bagaimanapun, saya percaya dengan kepimpinan yang ada kita boleh cipta kemenangan semula di Tanjong Karang," katanya.

Khamis lalu, Noh mengesahkan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta dan permohonan itu dibuat secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa.

Noh sebelum ini digugurkan BN kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dipecat UMNO pada tahun lalu.

Beliau mengumumkan menyertai Bersatu dengan memberi alasan simpati terhadap nasib bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berhubung permohonan menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!