Program Madani Rakyat Zon Timur catat 121,000 pengunjung

Iklan
Ahmad Zahid

KUANTAN - Seramai 121,000 pengunjung hadir ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan setakat 1 tengah hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, walaupun jumlah kehadiran tersebut penting, namun ia belum memadai sekiranya rakyat pantai timur tidak melihat program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menjadi pengubah keadaan kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Kita harap bukan sahaja kerajaan Kelantan, Terengganu dan Pahang (berkerjasama dalam membangunkan negeri) tetapi khususnya rakyat ketiga-tiga negeri ini harus bersama-sama mendukung hasrat kerajaan Persekutuan untuk terus bangunkan negeri pantai timur ini,” katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kerjasama itu perlu kerana kerajaan mahu pengimbangan di antara wilayah demi kepentingan rakyat di tiga negeri.

"Kita juga mahukan penyatuan pemikiran, penyatuan hati nurani untuk melaksanakan sesuatu yang menjadi hasrat terbaik kepada rakyat ketika ini,” katanya.

Iklan

Program Madani Rakyat Zon Timur yang diadakan sejak semalam sehingga esok merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), program kali ini turut mendapat kerjasama strategik KKDW dan kerajaan Pahang. - Bernama