PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang rakyat negara ini yang baharu pulang dari China sedang diasingkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemantauan lanjut bagi pengesanan wabak koronavirus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mangsa merupakan antara 11 yang menjalani ujian pengesanan selepas tiba dari Wuhan, China awal pagi tadi.
Menurutnya, ketika ini, mangsa diasingkan di hospital berkenaan sementara menunggu keputusan lanjut diperoleh.
"Daripada 11 yang menjalani ujian pengesanan itu, keputusan seorang lagi masih belum selesai atau diperoleh.
"Mereka terdiri daripada lapan rakyat Malaysia, dua dari China dan seorang Jordan. Keputusan seorang yang belum diketahui itu adalah rakyat Malaysia," katanya pada sidang media khas berkenaan wabak koronavirus di National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, mana-mana pihak khususnya yang baharu pulang bercuti dari China dinasihatkan untuk segera menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya tidak sihat.
"Jika ada masalah kesihatan khususnya bagi mereka yang baharu pulang Wuhan, China kita nasihatkan segera jalani pemeriksaan," katanya.
Selain itu, Dzulkefly turut menasihatkan rakyat di negara ini menangguhkan lawatan atau percutian ke Wuhan, China bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.