NIBONG TEBAL - Sebanyak tiga peti undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah dibawa masuk ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
Ia merupakan peti undi terawal dibawa masuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6.09 petang bagi proses pengiraan undi.
Iklan
Iklan
Menurut siaran langsung Facebook SPR, 124 kertas undi pos diterima suruhanjaya itu hari ini.
Proses pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap berakhir selepas kesemua sembilan pusat pengundian yang dibuka bermula 8 pagi tadi ditutup secara rasmi 6 petang ini, melibatkan 39,151 pengundi berdaftar.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!