Kemenangan PN di Sungai Bakap isyarat rakyat protes penyasaran subsidi diesel

Iklan
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap isyarat jelas penolakan rakyat terhadap penyasaran subsisi diesel.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun DUN Sungai Bakap berada di dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang diwakili oleh seorang menteri penuh, ternyata ia masih gagal untuk memikat pengundi memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

Menurutnya, tidak syak lagi ini merupakan kemenangan rakyat dan rakyat menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga kerajaan campuran di peringkat Persekutuan bahawa rakyat tidak setuju dengan beberapa pendekatan dan polisi yang dilaksanakan sejak akhir-akhir ini.

"Isyarat juga kepada kerajaan Pulau Pinang agar lebih bertindak adil dalam isu agihan projek dan kemudahan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Jelasnya, ungkapan maaf sahaja atas kegagalan menyediakan perkhidmatan air bersih tidak cukup untuk rakyat Sungai Bakap, mereka mahukan jaminan dan tindakan segera.

"Sewajarnya tiada lagi masalah memandangkan kerajaan negeri dan Pusat ialah dari aliran politik yang sama,” ujarnya.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengucapkan tahniah kepada calon PN DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail yang telah berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan Joohari Ariffin dengan majoriti yang lebih besar berbanding yang diraih oleh ADUN sebelum ini, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

"Tahniah kepada jentera dan Pengarah PRK yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

"Tidak lupa Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor dan pimpinan parti-parti komponen terutama Bersatu dan Gerakan yang tidak putus-putus menghantar jentera membantu,”katanya.

Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi di sini pada Sabtu.