SHAH ALAM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim tidak menolak kemungkinan kehadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjadi salah satu sebab Pakatan Harapan (PH) kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Bagaimanapun, beliau berkata, jawapan tersebut akan diperjelaskan dengan lebih terperinci dalam sidang Parlimen tidak lama lagi.
"Soalan yang cukup bagus, sebenarnya saya ternanti-nantikan soalan itu, tetapi saya akan jawab di Parlimen nanti.
"Beberapa orang menteri kalau mereka datang berkempen, Alhamdulliah, kempenlah.
"Mereka akan kalah, biar orang tahu perangai mereka, kalau suruh pemimpin UMNO datang pun, lagi cepat dia kalah,” katanya kepada pemberita semasa siaran langsung TikTok Sinar Daily sebelum pengumuman keputusan PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu.
Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Dalam pada itu, Shahidan menggesa kerajaan untuk mendengar keluhan dan suara rakyat sekali gus mengambil tindakan serius bagi membantu menangani masalah yang membelenggu masyarakat.
Tambahnya, ia berikutan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini meminta agar rakyat Rohingya diberi peluang pekerjaan dalam sektor perladangan.
"Dahulu ada 250,000 warganegara itu, tetapi sekarang tinggal 200 orang sahaja yang berdaftar. Mereka tak minat.
"Bila dah diberi kerja, tinggal 80 orang sahaja, retoriknya jangan bagi mereka kerja.
"Kita nak menteri serius dan beri jawapan yang bagus. Kalau perangai sombong, tak mahu dengar cakap orang, insya-ALLAH mereka tak lama berada di sana,” jelas beliau lagi.