Pilihan raya cetus 'tsunami perubahan'

Iklan

LEBIH satu bilion penduduk di seluruh dunia telah mengundi pada 2024 dan masih ada banyak lagi pilihan raya penting bakal berlangsung pada tahun ini.

Proses pemilihan itu telah dan akan diadakan di lebih 60 negara. Setakat separuh tahun kedua, beberapa pilihan raya telah menyaksikan 'tsunami perubahan' tampuk kepimpinan negara.

Iklan
Iklan

2024 disifatkan sebagai 'tahun kejayaan atau kegagalan ketara untuk demokrasi' kerana beberapa pemilihan telah menjadi medan suara rakyat bagi menzahirkan kehendak mereka yang menuntut perubahan terhadap pemerintah.

Berikut adalah antara keputusan pilihan raya yang mencipta sejarah, dihimpit kontroversi dan menyaksikan sokongan pengundi beralih kepada puak pembangkang.

Iklan

------------

1. Pakistan

Iklan

Parti Tehreek-e-Insaf dipimpin bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bersama sekutunya memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya pada Februari lalu meskipun pemimpin itu sedang meringkuk di dalam penjara.

Pemilihan yang dicemari insiden keganasan dan penipuan undi itu akhirnya menyaksikan penubuhan kerajaan gabungan diketuai Perdana Menteri, Shehbaz Sharif yang kini memegang kuasa.

2.Indonesia

Kemenangan Prabowo Subianto bersama pasangan regunya, Gibran Rakabuming Raka atas 'sokongan' Presiden Joko Widodo atau Jokowi pada Februari lalu telah mencetuskan rasa tidak puas hati calon pesaing, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo yang bertindak mengemukakan aduan.

Mahkamah Konstitusi (MK) bagaimanapun menolak petisyen tersebut dan tuduhan nepotisme dikemukakan mereka serta mengekalkan kemenangan Prabowo-Gibran yang akan mengambil alih jawatan pada Oktober depan.

3.Rusia

Presiden Rusia, Vladimir Putin berjaya mengekalkan jawatan untuk penggal kelima selepas memenangi 90 peratus undi pada Mac lalu.

Kemenangan itu yang didakwa telah dicemari penipuan telah menjadikan Putin sebagai Presiden paling lama berkhidmat dalam tempoh dua abad dan mungkin akan terus memegang kuasa sehingga 2030.

4. Turkiye

Parti pembangkang utama Turkiye, Parti Rakyat Republikan (CHP) meraih kemenangan besar di bandar utama Istanbul dan Ankara pada April lalu.

Keputusan pemilihan itu memberi tamparan hebat kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan yang berhasrat untuk menguasai semula bandar tersebut kurang setahun selepas beliau memegang jawatan untuk penggal ketiga.

Ia adalah pertama kali Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dipimpin Erdogan yang memegang kuasa kira-kira 21 tahun lalu berdepan kekalahan di seluruh negara.

5.Korea Selatan

Di tengah-tengah skandal rasuah dan populariti pemerintah yang semakin merudum, parti pimpinan Presiden Yoon Suk-yeol, Parti Kuasa Rakyat mengalami kekalahan besar kepada pembangkang ketika pemilihan pada April lalu.

Keputusan yang tidak berpihak kepada pemerintah memburukkan lagi kebuntuan Parlimen ketika negara itu berdepan pelbagai isu termasuk kadar bunuh diri yang membimbangkan, rekod kelahiran yang merosot dan peningkatan ancaman dari Pyongyang.

6. India

Usaha Perdana Menteri, Narendra Modi untuk memancing undi golongan nasionalis tidak berjaya meskipun beliau masih berjaya mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga menerusi Pilihan Raya Umum yang berlangsung secara berperingkat sejak April hingga awal Jun lalu.

Parti Bharatiya Janata (BJP) hilang majoriti di Parlimen (Lok Sabha) buat pertama kali dalam tempoh sedekad. Penganalisis berpendapat keputusan itu jelas menunjukkan kebanyakan pengundi kecewa dengan dasar pemerintah.

7.Afrika Selatan

Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah Afrika Selatan sejak pilihan raya pada 1994 ketika Nelson Mandela memegang tampuk pemerintahan hilang majoriti buat pertama kali ketika pemilihan pada Mei lalu.

Pemimpin ANC, Cyril Ramaphosa dilantik untuk memegang jawatan bagi penggal kedua selepas membentuk 'pakatan goyah' bersama pesaingnya untuk menubuhkan kerajaan 'perpaduan nasional'.

8.Mexico

Claudia Sheinbaum yang merupakan sekutu kepada Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menang besar dan diisytiharkan sebagai Presiden wanita pertama negara Amerika Utara itu pada bulan lalu.

Parti diwakilinya, Parti Morena bersama sekutunya juga mendominasi Pilihan Raya Legislatif dan meraih majoriti besar di Dewan Perwakilan, sekali gus menyediakan pentas buat beliau untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dan menangani kebimbangan orang ramai terhadap jenayah terancang dan keganasan berdasarkan jantina.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!