'Gelanggang Olimpik jauh berbeza'

Iklan
Ee Wei (kanan) dan Tang Jie giat menjalani latihan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur menjelang Sukan Olimpik di Paris hujung bulan ini. Foto Bernama.

BEREGU campuran negara, Toh Ee Wei-Chen Tang Jie mengakui Sukan Olimpik Paris sebagai pentas berbeza yang menuntut mereka membuat persediaan berganda bagi menggalas cabaran negara pada temasya itu.

Meskipun pernah beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2023, namun Ee Wei enggan menjadikannya sebagai sandaran untuk merealisasikan impian besar pada temasya edisi ke-33 tersebut.

Iklan
Iklan

Ee Wei bersama pasangannya yang akan beraksi buat kali pertama di pentas besar itu mengakui persiapan terbaik mampu mengubah nasib mereka andai ingin melakar keputusan positif.

"Kami tidak pernah sesekali memikirkan mengenai bagaimana saingan di Olimpik dan tidak mahu membayangkannya kerana ingin fokus kepada persiapan.

Iklan

"Persediaan kami lakukan yang terbaik termasuk latihan mental yang dibuat di sini (Akademi Badminton Malaysia)," katanya.

Ee Wei menjelaskan, biarpun WTF menggunakan format sama seperti Sukan Olimpik iaitu pemain akan dibahagikan dalam dua kumpulan, namun taraf temasya itu jauh lebih tinggi.

Iklan

"Sukan Olimpik berlangsung empat tahun sekali, jadi semua pesaing mahukan pingat emas dan ia memerlukan semangat juang yang tinggi.

"Selain latihan kekuatan mental, kami juga membuat kerja rumah, berbincang sesama sendiri dan perlu melakukan perkara berbeza.

"Kami juga menonton video perlawanan lawan untuk mencari formula terbaik bagi mengejutkan mereka dan memperoleh keputusan positif," katanya.

Sebagai rekod, undian bagi badminton Sukan Olimpik akan berlangsung pada 12 Julai ini.

Badminton akan membuka tirai sehari selepas upacara pembukaan temasya iaitu pada 27 Julai hingga 5 Ogos.

Beregu campuran membuka gelanggang pada 27 Julai seterusnya menjadi acara pertama berlangsung di Porte de la Chapelle Arena dengan menawarkan pingat emas pada 2 Ogos, diikuti beregu wanita (3 Ogos), beregu lelaki (4 Ogos) dan

perseorangan lelaki serta wanita pada (5 Ogos).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!