Hari Peneroka: Medan terbaik generasi Felda bersoladiriti

Iklan
Reka bentuk rumah peneroka Felda menjadi tarikan pengunjung di Warong Tersorok.

TANGGAL 7 Julai adalah tarikh untuk menghargai jasa peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menyumbang kepada industri komoditi sawit negara.

Sumbangannya kepada negara ialah pengeluaran buah tandan sawit dari ladang peneroka Felda dan FGV Holdings Bhd (FGV) yang menghasilkan minyak sawit mentah sehingga tiga juta tan setahun.

Iklan
Iklan

Hasil ini menjadi produk hiliran makanan berasaskan sawit melalui jenama Saji, minyak peket Cap 3 Udang serta marjerin jenama Adela, Pelangi dan banyak lagi.

Produk pengguna ini menguasai 45 peratus pasaran tempatan di mana pengeluar dan pengguna utamanya adalah bumiputera.

Iklan

Ini bermakna sebanyak 45 peratus isi rumah, restoran, hotel dan industri makanan tempatan menggunakan produk hasil titik peluh peneroka.

Sebanyak 45 peratus isi rumah, restoran, hotel dan industri makanan tempatan menggunakan produk hasil titik peluh peneroka Felda.

Jika dinilaikan dengan ringgit, sumbangan kepada kitaran ekonomi negara dianggarkan melebihi RM50 bilion setahun termasuk produk pengguna sampingan dihasilkan daripada bahan sawit lain seperti sabun, kosmetik dan sebagainya.

Iklan

Berdasarkan semua angka ini, maka selayaknya peneroka Felda diraikan setanding dengan Hari Peladang, Hari Jururawat dan sebagainya yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Sambutan Hari Peneroka 2024 akan diraikan pada 12 hingga 14 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di mana julung kalinya diadakan selama tiga hari dengan menyasarkan kehadiran 500,000 warga peneroka Felda dan generasi baharunya.

Pemilihan lokasi ini dilihat tepat kerana lebih 60 peratus daripada tiga juta warga Felda menetap di luar tanah rancangan.

Sambutan kali ini adalah terbesar untuk menyantuni semua warga peneroka Felda terutama generasi muda dari seluruh negara berbanding sambutan sebelum ini hanya dihadiri peneroka yang dibawa dari tanah rancangan masing-masing.

Kehadiran ini sangat penting supaya kita dapat zahirkan kepada kerajaan dan rakyat bahawa warga peneroka adalah satu kelompok penting kepada negara.

Setelah hampir 70 tahun, kini Kumpulan Felda sedang menghidap penyakit tiga serangkai apabila Felda terus mengalami defisit, FGV rugi manakala Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam keadaan tenat.

Prestasi Felda jelas lemah dan gagal menterjemah serta melaksanakan pelbagai pelan pemulihan diumumkan sebelum ini walaupun dengan pelbagai bantuan kerajaan termasuk dana berbilion ringgit.

FGV yang sepatutnya menjadi punca pendapatan Felda walaupun menghasilkan produk berbilion ringgit, namun prestasinya masih rugi berdasarkan laporan kewangan suku pertama 2024 berbanding syarikat swasta lain yang mencatat keuntungan tinggi walaupun saiznya lebih kecil.

KPF pula tertekan dengan tuntutan ahli untuk pengeluaran dividen dan pelaburan tertunggak kerana masalah aliran tunai.

Semua ini disebabkan dasar dan fokus semasa Kumpulan Felda yang berubah, ditambah kelemahan pasukan pelaksana di semua peringkat pengurusan.

Warga peneroka Felda tidak mahu lagi dibuai mimpi indah melalui pengumuman billion dan jutaan ringgit oleh kerajaan ketika sambutan hari peneroka seperti sebelumnya sehinggakan ada pihak menggelar Felda ibarat ‘biawak hidup’ apabila hakikatnya agenda perubahan digariskan kelihatan gagal di mata rakyat.

Sebaliknya, warga peneroka mahukan ketegasan kerajaan untuk menilai semula dasar Kumpulan Felda dan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) supaya bersesuaian keadaan semasa dan terus relevan untuk sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang tanpa mengubah tujuan asal penubuhannya.

Felda, FGV dan KPF perlu distrukturkan dengan satu hala tuju jelas untuk menjadi gabungan ‘caretaker’ yang diurus bersama warga peneroka tanpa bergantung kepada kerajaan seperti dahulu.

Ia boleh dicapai dengan pasukan pelaksana yang cekap serta penglibatan semua peringkat pemegang taruh antara kerajaan, Kumpulan Felda dan warga peneroka tanpa menggadaikan mana-mana kepentingan kepada pihak lain.

Ayuh warga peneroka dan generasi baharu Felda di seluruh pelusuk negara terutama di Lembah Klang, kita mesti hadir ke Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2024 kali ini.

Kita jadikan sambutan ini sebagai satu medan himpunan ukhuwah, berjejak kasih dengan rakan atau saudara-mara yang mungkin sekian lama tidak berjumpa, zahir rasa dan bersoladiriti dalam suasana ceria sambil bersuka ria dengan pelbagai aktiviti dan program direncanakan.

Kita pertahankan organisasi ini dan buktikan Felda sebagai satu keluarga besar yang mempunyai satu persamaan ketara dengan darah asli peneroka Felda bercampur keringat dan air mata membanting tulang mengerah kudrat, berkorban demi kesenangan dan kejayaan berterusan generasi kita dan negara.

* Rauzan Esa, Generasi peneroka Felda

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!