PELARI sensasi wanita negara, Shereen Samson Vallabouy diyakini mampu kembali lebih bertenaga biarpun terlepas slot beraksi Sukan Olimpik 2024 menerusi slot 'wild card'.
Itu pandangan raja pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terhadap ratu pecut 400m negara itu selepas tidak terpilih ke temasya sukan dunia berkenaan.
Sambil berharap Shereen tidak berputus asa, atlet kelahiran Teluk Intan, Perak berusia 20 tahun itu mengakui pelari satu negeri dengannya tersebut sentiasa memperagakan prestasi terbaik musim ini.
"Shereen selalu buat yang terbaik dan pecahkan rekod kebangsaan, saya yakin slot wild card tidak mematahkan semangatnya selepas ini.
"Saya percaya bahawa Shereen mampu bangkit lebih cemerlang pada masa depan dan bakal muncul antara pelari pecut terbaik Malaysia dalam acara 400 meter.
"Shereen juga masih berpeluang beraksi di Sukan Olimpik pada masa depan sekali gus mengharumkan nama negara.
"Dan semua tahu bahawa ibu bapanya adalah bekas atlet negara, jadi saya percaya pada edisi seterusnya dia akan tampil Olimpik," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Rabu mengesahkan tiket wild card ke Paris 2024 diberikan kepada Azeem sekali gus mengetepikan cabaran Shereen.
Sementara itu, Shereen memberikan bayangan akan fokus kepada kepelbagaian larian selepas gagal menyambar slot ke Paris 2024.
Malah atlet kelahiran Ipoh, Perak itu akan kembali ke Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan saingan musim ini dengan misi meningkatkan prestasi semasanya.
Jelas atlet berusia 26 tahun itu lagi tumpuan akan diberikan kepada acara 100m dan 200m memandangkan slot pemburuan ke pentas Olimpik 'terhenti sementara' buat kali ini.
Menurutnya lagi dia perlu kembali semula ke AS sambil menyifatkan lebih mudah untuk menjalani latihan bersama jurulatihnya di sana.
"Sebaik berakhir Sukan Universiti ASEAN Surabaya-Malang, Indonesia, saya tidak ada kejohanan-kejohanan lain tetapi mungkin akan lari sedikit dari kebiasaannya sebelum menutup saingan musim ini.
"Saya akan pulang ke AS bagi habis baki saingan musim ini dengan bertanding di sana nanti. Saya perlukan aksi kompetitif bagi memastikan ada atlet-atlet lain terus mencabar saya," katanya.
Sebagai rekod, Shereen memenangi pingat emas acara 400m selain turut membutirkan satu lagi medal tersebut dalam acara 4x400m pada Jumaat.
Jelas penuntut Winona State University itu, dia tidak tahu kejohanan akan disertai selepas ini kerana penyertaannya sebelum ini diputuskan jurulatihnya, namun hasratnya adalah untuk beraksi lebih banyak dalam acara 100m dan 200m.
"Saya tahu prestasi tahun ini terdapat peningkatan tetapi sejujurnya tidak banyak peluang beraksi aksi 100m dan 200m. Saya terlalu berikan fokus kepada 400m, namun tidak berjaya lakukannya ke Olimpik," kata Shereen.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!