PRK Sungai Bakap: Kerajaan Perpaduan hormati suara pengundi, terima kekalahan

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Gabungan Kerajaan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat di DUN itu yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya menerusi catatan di Facebook, pada Ahad.

Anwar berkata, dengan dasar dan komitmen yang jitu, Gabungan Kerajaan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan.

Iklan

Pada Sabtu, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!