TEL AVIV - Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di Tel Aviv pada Sabtu menggesa pilihan raya baharu yang berpotensi menggantikan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Demonstrasi yang dilakukan hampir setiap minggu itu bagaimanapun masih belum mengubah landskap politik atau menjatuhkan Netanyahu yang masih menguasai majoriti stabil di Parlimen.
Antara lain, protes tersebut memperlihatkan ribuan orang mengibarkan bendera Israel selain membawa plakad antikepimpinan Netanyahu.
Ini termasuk yang membabitkan undang-undang ketenteraan serta pengurusan beliau dalam perang dengan Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lubnan.
Kemarahan warga Iisrael terhadap cara kepimpinan Netanyahu kini dilihat semakin memuncak.
Antara isu yang seringkali ditekankan oleh warga Israel setiap protes diadakan adalah pembebasan tebusan serta gencatan senjata kekal.
Sebelum ini, Netanyahu berkata, ketua Agensi Perisikan Mossad kembali dari pertemuan awal dengan pengantara di Doha, Qatar dan rundingan akan diteruskan minggu depan.
Kenyataan itu sangat berbeza dengan rundingan masa lalu dalam perang sembilan bulan di Gaza apabila Israel berkata, syarat yang dilampirkan oleh Hamas tidak boleh diterima.
Netanyahu memimpin salah satu gabungan berhaluan kanan paling lama di Israel.
Hamas terima cadangan AS runding tebusan - Laporan
Dalam perkembangan berasingan, Hamas telah menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan perbincangan mengenai pembebasan tebusan Israel, 16 hari selepas fasa pertama perjanjian yang bertujuan menamatkan perang Gaza.
Menurut sumber kanan Hamas, pihaknya telah menggugurkan tuntutan agar Israel terlebih dahulu melakukan gencatan senjata kekal sebelum menandatangani perjanjian itu.
Hamas juga akan membenarkan rundingan pencapaiannya sepanjang fasa pertama enam minggu.
Dalam pada itu, seorang pegawai Palestin yang rapat dengan usaha damai pengantara antarabangsa berkata, cadangan itu boleh membawa kepada perjanjian rangka kerja jika diterima oleh Israel dan akan menamatkan perang sembilan bulan antara Israel dan Hamas di Gaza.
Sementara itu, sumber dalam pasukan perunding Israel berkata, kini terdapat peluang sebenar untuk mencapai persetujuan.
Jelasnya, ia sangat berbeza dengan kejadian masa lalu dalam perang sembilan bulan di Gaza, apabila Israel berkata, syarat yang dilampirkan oleh Hamas tidak boleh diterima.
Pada Jumaat, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, rundingan akan diteruskan minggu depan dan menekankan bahawa jurang antara kedua-dua pihak masih kekal.
Seorang pegawai AS pula menambah, terdapat kemajuan sebenar tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan.
Cadangan baharu itu memastikan pengantara akan menjamin gencatan senjata sementara, penghantaran bantuan dan pengunduran tentera Israel selagi rundingan tidak langsung terus melaksanakan fasa kedua perjanjian itu.
Usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza telah dipergiat sejak beberapa hari lalu dengan diplomasi ulang-alik yang aktif antara Washington, Israel dan Qatar, yang mengetuai usaha pengantaraan dari Doha, di mana kepimpinan Hamas berpusat.
Sumber serantau berkata, pentadbiran AS sedang berusaha keras untuk mendapatkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Presiden pada November. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!