Perlu 'bedah siasat' kekalahan di PRK Sungai Bakap - AMK Johor

Iklan
Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

JOHOR BAHRU - Pimpinan Kerajaan Madani perlu duduk, muhasabah dan lakukan 'bedah siasat' bersama-sama untuk mengatasi kelemahan supaya kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap tidak berulang.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Puad berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana ramai anak muda keluar mengundi dalam PRK Sungai Bakap melebihi warga emas tetapi tidak memihak kepada calon Kerajaan Madani.

Iklan
Iklan

"Namun, majoriti anak muda beri undi kepada parti lawan. Sebab apa? Apa yang sedang berlaku? Ambil pengajaran.

"Selepas ini program untuk anak muda dan penerangan tentang dasar kerajaan kepada anak muda perlu diperhebat lagi. Perlu lebih kerap santuni mereka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun yang dilaporkan berkata, peratusan anak muda keluar mengundi pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada sebelah pagi Sabtu dilihat agak memberangsangkan.

Ramlan berkata selepas meninjau proses pengundian di tiga pusat pengundian di DUN tersebut, beliau mendapati pola pengundian menyaksikan saluran anak muda merupakan paling banyak diisi.

Iklan

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, ramai anak muda begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan naratif yang dibawa pembangkang.

Beliau mendakwa, naratif yang dibawa pembangkang berjaya tawan hati anak muda.

"Kita kalah bukan sebab kita tak kuat dan buat perkara yang salah tapi kerana media dan perang saraf kita lemah.

"Kerajaan buat perkara yang betul walaupun tak popular seperti penyasaran subsidi. Tapi penerangan kepada rakyat dilihat tak begitu berkesan," katanya.

Justeru beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) dan BN perlu kuasai media arus perdana mahupun media sosial secara kreatif.

"Latihan menguasai media, latihan penyampaian maklumat kepada anggota dan pimpinan akar umbi perlu dibanyakkan," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!