PEMERHATI bola sepak, Jamie O'Hara menyifatkan Harry Kane sebagai Cristiano Ronaldo versi England ketika dia menyelar kapten Three Lions itu atas persembahan hambar pada perlawanan suku akhir menentang Switzerland.
Kane sekali lagi diberikan tangggungjawab mengetuai jentera serangan England tetapi gagal mempamerkan persembahan diharapkan dalam perlawanan tersebut.
O'Hara yang juga bekas pemain Tottenham Hotspur telah melabel Kane sebagai 'malas' dan berkata bahawa penyerang Bayern Munich itu adalah satu-satunya pemain yang mengecewakannya pada separuh masa pertama.
"Saya bimbang kita akan mempunyai Ronaldo dalam pasukan, dan kita terpaksa menurunkannya," katanya kepada talkSPORT.
O'Hara bukan satu-satunya pengkritik yang mengkritik kapten England itu semasa separuh masa pertama.
Pengulas BBC, Alan Shearer turut menyifatkan Kane tidak cukup tajam terutama gagal menghidu peluang hantaran baik daripada Bukayo Saka dalam tempoh 45 minit awal perlawanan.
"Ia adalah bola yang bagus dan Bukayo Saka mungkin akan berkata 'di manakah anda?'
"Saka menanti pemain untuk masuk ke dalam kotak penalti dan Harry Kane langsung tidak bergerak," katanya.
Perbandingan dengan Ronaldo adalah dakwaan buruk terhadap kapten England, ketika bintang Portugal itu bergelut sepanjang Euro 2024.
Ronaldo berdepan kritikan hebat atas persembahannya kerana dia gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan ketika Portugal berada dalam kejohanan itu.
Pemain berusia 39 tahun itu gagal menjaringkan gol dengan 23 percubaan yang dilakukannya.
Ronaldo menjaringkan gol semasa penentuan sepakan penalti menentang Perancis, walaupun kesilapan Joao Felix menyebabkan mereka tersingkir di suku akhir.
Persembahan Kane, seperti kebanyakan bintang England, telah mendapat perhatian di Euro.
Kapten England itu telah menjaringkan dua gol dalam kejohanan itu, dengan satu gol menentang Denmark dalam peringkat kumpulan, dan gol penting menentang Slovakia dalam masa tambahan pada peringkat 16 terakhir.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!