PRK Sungai Bakap: 'Anak murid beri hadiah mengecewakan cikgu'

Iklan
Afnan Hamimi

SHAH ALAM - Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap disifatkan sebagai hadiah amat mengecewakan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia susulan daripada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, yang beranggapan jika kemenangan pilihan raya tersebut berpihak kepada gabungan PH-Barisan Nasional (BN), maka ia akan menjadi hadiah untuk Anwar yang juga lahir di Sungai Bakap.

Iklan
Iklan

"Anak murid beri 'hadiah' yang mengecewakan cikgu. Presiden UMNO menyebutkan jika gabungan beliau bersama cikgunya (Anwar) menang, ia merupakan hadiah untuk Perdana Menteri.

"Nampaknya, hadiah yang diberi kali ini amat mengecewakan Perdana Menteri. Apa jadi jika seorang murid mengecewakan cikgunya?

Iklan

"Mungkin murid itu akan ditukarkan ke kelas yang lain. Atau, mungkin dibuang sekolah,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Iklan

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Joohari yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Dalam pada itu, ujar Afnan Hamimi, terdapat beberapa rumusan berikutan kekalahan gabungan PH-BN dalam PRK DUN Sungai Bakap termasuk pengundi Melayu kekal menolak PH-BN, pengundi Cina dan India protes tidak keluar mengundi, pengundi atas pagar tidak memihak kepada PH, tidak hiraukan 'ugutan' Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan tidak termakan janji projek pembangunan yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri 1.

Selain itu, menurutnya, hampir semua saluran mengundi anak muda di dalam pilihan raya kali ini kekal bersama PN, malah jumlah berkenaan semakin meningkat berbanding pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

"Anak muda bijak menilai dan memilih parti yang benar-benar boleh mewakili suara dan aspirasi mereka.

"Ini juga memberi isyarat kepada PN supaya perlu terus kekal berusaha menyantuni seramai mungkin anak muda dan mendengar suara mereka,” ujarnya.

Sementara itu, ulas beliau, keputusan PRK DUN Sungai Bakap wajar menjadi titik penyesalan atas segala kesilapan yang dibuat oleh gabungan PH-BN semasa memegang tampuk kuasa kerajaan.

"Mereka perlu 'bertaubat' dengan segera dan memperbetulkan segala kesilapan yang dilaksanakan dalam memacu negara.

"Segala janji mereka untuk membela nasib rakyat dan mengangkat negara menjadi 'Madani' nampaknya telah dibakulsampahkan di Sungai Bakap,” ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!