Rasuah Busters selar tindakan salah guna dana latihan kemahiran

Iklan
Rasuah Busters menyelar tindakan salah guna dana latihan industri yang dikendalikan HRD Corp.

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters menyelar tindakan salah guna dana latihan industri yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Rasuah Busters dalam satu kenyataan berkata, ketidakpatuhan transaksi yang dilaporkan Pasukan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merupakan kelemahan tadbir urus dan integriti ketara serta boleh menyebabkan kerugian besar terhadap rangsangan sosio-ekonomi negara.

Iklan
Iklan

"Laporan yang dibuat PAC menjadi mekanisme pengurusan risiko bagi menjamin strategi efektif dibentuk pada masa akan datang bagi mengelakkan implikasi negatif akibat penyelewengan atau penyalahgunaan dana awam," katanya pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, PAC mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan HRD Corp untuk melabur sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.

Iklan

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.

Ujar beliau, pelaburan berkenaan berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar.

Iklan

Mengulas lanjut Rasuah Busters mencadangkan agar akauntabiliti dalam proses audit bebas, verifikasi peserta, penggunaan dana tidak terpakai dan beberapa langkah pengawasan lain diperketatkan agar pembaziran sumber dapat disekat serta dipantau lebih awal.

"HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia digesa mengambil tindakan segera dalam menangani isu ini melalui SOP yang perlu dikemas kini.

"Ini termasuk tindakan undang-undang terhadap ketidakpatuhan dan menambahbaik sistem teknologi biometrik bagi mengawal pangkalan data untuk memastikan pembangunan modal insan melalui HRD Corp dijalankan dengan berkesan berteraskan tahap integriti tertinggi.

"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga perlu memainkan peranan dengan memantau aktiviti HRD Corp bagi memastikan campur tangan dan akauntabiliti yang tepat pada masanya sebelum isu-isu berkenaan di bawa ke PAC," tambahnya.

Dalam pada itu Rasuah Busters menzahirkan ucapan tahniah kepada PAC atas tanggungjawab melaksanakan audit dan yang membongkar ketidakpatuhan dan penyelewengan dalam pengurusan dana oleh HRD Corp.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!